Tumpuan :
Detik Niaga

Hasil sewa komersial lapangan terbang MAHB dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: Pendapatan sewa komersial lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Malaysia dijangka meningkat pada tahun kewangan berakhir berakhir 31 Disember 2024, manakala perjanjian operasi baharu dan tarif baharu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mungkin memberikan ‘kejutan’.

CGS-CIMB dalam satu nota penyelidikan berkata, diskaun komersial yang diberikan oleh MAHB dijangka berakhir pada tahun kewangan 2024, sekali gus memberikan kesan kepada kira-kira 67 peratus lot-lot komersial yang disewa di semua lapangan terbangnya di negara ini.

MAHB telah mengecualikan sewa untuk baki 33 peratus penyewa yang perniagaan mereka masih ditutup, dengan dikira sebagai muhibah.

“Daripada jumlah penyewa yang membayar sewa, kami menganggarkan bahawa MAHB memberikan diskaun 30 peratus mengambil kira trafik penumpang masih belum pulih sepenuhnya ke tahap sebelum COVID-19.

“Secara dasarnya, MAHB hanya mengutip 47 peratus daripada sewa yang berhak dikutipnya pada separuh pertama 2023, dengan baki 53 peratus hilang kepada pengecualian atau diskaun sewa, pada pandangan kami.

“Berita baiknya adalah MAHB menjangkakan semua kedai-kedai ini akan dibuka menjelang akhir tahun ini, justeru sepatutnya sifar pengecualian dan diskaun sewa pada tahun kewangan 2024,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pendapatan sewa dan komersial MAHB akan meningkat 39.5 peratus tahun ke tahun kepada RM782 juta pada tahun kewangan 2024, atau 14 peratus lebih tinggi berbanding tahun kewangan 2019.

Loading...
Terkini