KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) kembali mencatatkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM29 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2023, setanding dengan keuntungan yang dicapai pada suku kewangan sama pada tahun sebelumnya dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Keuntungan sebelum cukai mencecah RM36 juta berbanding RM37 juta pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil pula susut kepada RM452 juta berbanding RM585 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu disebabkan jumlah jualan dan harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah.
Untuk tempoh terkumpul enam bulan berakhir 30 September 2023, Hartalega mengalami kerugian sebelum cukai berjumlah RM9 juta.
Hasil bagi tempoh enam bulan lebih rendah iaitu RM892 juta berbanding RM1.4 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Tidak termasuk peruntukan sekali sahaja untuk bayaran pemberhentian kerja berjumlah RM47 juta bagi penutupan kilang Bestari Jaya yang diiktiraf pada suku pertama tahun kewangan 2024, kumpulan sepatutnya mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM38 juta bagi enam bulan pertama, berbanding RM171
Penyusutan ini terutamanya disebabkan jumlah jualan dan ASP lebih rendah, yang diimbangi oleh penurunan kos bahan mentah dan buruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong, berkata keadaan mencabar dalam sektor sarung tangan dijangka berlarutan pada separuh kedua tahun kewangan, sambil industri terus terkesan akibat lebihan bekalan dan persaingan sengit di peringkat global, yang memberikan tekanan terhadap ASP.
Bagaimanapun, beliau berkata proses penyusunan semula kapasiti baru-baru in bagi pengeluar domestik utama dan juga langkah beberapa syarikat kecil untuk keluar daripada sektor ini telah mengurangkan sedikit tekanan akibat bekalan berlebihan di pasaran.
Katanya, dalam keadaan yang sukar ini, kumpulan memberi tumpuan terhadap rancangan strategik lima tahun untuk menempuh cabaran semasa dan mengukuhkan kelestarian dan daya tahan dalam jangka panjang.
“Proses penyusunan semula operasi yang sedang dijalankan sesungguhnya satu inisiatif penting di bawah rancangan ini, yang membabitkan penutupan kemudahan Bestari Jaya untuk menyatukan operasi di Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) terkini kami di Sepang.
“Langkah ini, apabila selesai, dijangka menghasilkan kecekapan operasi dan menjimatkan kos menjelang suku pertama tahun kalendar 2024, lantas meletakkan lumpulan pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan pemulihan pasaran pada masa depan.
“Di samping itu, kami terus memberi tumpuan terhadap pengurusan kos yang teliti, berusaha mencapai kecekapan operasi berterusan dan meningkatkan tahap automasi,” katanya dalam satu kenyataan.