KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM52.47 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2023 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM88.28 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini.
Perolehan menyusut kepada RM440.04 juta daripada RM845.67 juta disebabkan oleh jumlah jualan serta harga jualan purata (ASP) yang lebih rendah memandangkan industri terus menghadapi situasi lebihan penawaran dan pelarasan inventori dalam rantaian bekalan.
“Saingan yang kuat dalam sektor sarung tangan dijangka berterusan berikutan situasi lebihan bekalan global.
“Perkembangan kapasiti yang agresif oleh pemain serantau, ditambah dengan pengumpulan inventori yang berlebihan semasa pandemik telah membawa kepada ketidakseimbangan permintaan dalam bekalan pasaran semasa dan tahap operasi suboptimum seluruh industri,” kata pengeluar sarung tangan itu melalui makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Industri sarung tangan domestik sebelum ini berdepan dengan peningkatan kos operasi seperti kos tenaga dan buruh yang lebih tinggi.
Akibatnya, pengeluar sarung tangan terjejas oleh pemampatan margin operasi kerana harga ASP bagi sarung tangan getah kekal kompetitif dalam keadaan keuntungan yang minimum dengan kos tambahan yang dilalui, kata Hartalega.
“Walaupun rasionalisasi kapasiti diramalkan berterusan, landskap yang mencabar mungkin akan berterusan buat masa ini. Untuk memastikan kemampanan dan daya tahan perniagaan dalam jangka panjang, kumpulan itu telah memulakan pelan strategik lima tahun.
“Langkah rasionalisasi yang berterusan mewakili salah satu pendekatan utama di bawah pelan ini, yang mana kumpulan itu telah memulakan pemansuhan fasiliti Bestari Jaya dengan tujuan menyatukan operasinya di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Seterusnya di Sepang,” katanya.
Penyahaktifan fasiliti Bestari Jaya yang merangkumi empat kilang pengeluaran, yang sebahagiannya telah beroperasi sejak 2004, disasarkan selesai menjelang suku pertama tahun kalendar 2024.
Setelah siap, kumpulan itu menjangkakan peningkatan dalam kecekapan operasi dan kos, sekali gus melonjakkan daya saing keseluruhan kumpulan pada masa hadapan.
Pada waktu rehat tengah hari, saham Hartalega susut 0.47 peratus kepada RM2.13 dengan 9.89 juta saham diurus niaga.
BERNAMA