Tumpuan :
Detik Niaga

Harga simen, besi terus meningkat

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Indeks harga seunit simen dan besi mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 1.1 peratus dan 0.9 peratus pada Mac 2023 berbanding Februari 2023, demikian mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, peningkatan indeks harga besi adalah seiring dengan trend peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

Beliau berkata, penyumbang utama kenaikan harga bagi pasaran simen pula berikutan peningkatan kos pengeluaran yang masih berterusan seperti peningkatan harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu (yang digunakan dalam proses pembakaran), tenaga dan kos penghantaran.

Namun, katanya dalam laporan Indeks Kos Bahan Binaan Mac 2023 yang diterbitkan hari ini, harga bahan itu meningkat dengan kadar yang lebih perlahan berbanding dua bulan lalu.

Mohd Uzir berkata, jika dibandingkan dari tahun ke tahun, indeks harga bagi seunit simen dan batu bata dan dinding meningkat masing-masing 10.2 dan 8.0 peratus bagi Mac 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Namun begitu, indeks harga bagi seunit bagi besi pula telah mencatatkan penurunan iaitu 0.6 peratus.

Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan ‘Mycon 60 high tensile deformed bars’ adalah RM3,691.66 bagi setiap tan dan mencatatkan peningkatan 0.8 peratus berbanding RM3,662.23 satu tan pada Februari 2023.

Purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.1 peratus iaitu RM22.40/50 kilogram berbanding RM22.15/50 kilogram.

Menurut laporan Persatuan Keluli Dunia, pengeluaran besi global adalah 142.4 juta tan pada Februari 2023 mencatatkan penurunan 1.0 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu, selepas turut menguncup pada Januari 2023.

Persatuan itu turut menyatakan pengurangan pengeluaran daripada negara pengeluar terkemuka seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS) iaitu masing-masing sebanyak 5.3 peratus dan Russia 8.6 peratus. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini