KUALA LUMPUR: Pasaran kenderaan elektrik (EV) hanya akan meningkat dengan ketara selepas 2025 apabila harga lantai RM100,000 yang ditetapkan untuk EV yang dipasang di luar negara (CBU) tamat tempoh, dan apabila pengeluar kereta tempatan mengeluarkan kenderaan mereka sendiri.
Penganalisis RHB Investment Bank, Syahril Hanafiah, berkata sebelum tempoh itu, EV yang membentuk 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) pada suku pertama 2024 dijangka akan terus berlegar pada sekitar paras semasa.
Beliau berkata, TIV yang dicatatkan oleh EV dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini adalah kadar yang mendatar berbanding sumbangannya pada tahun lalu.
Katanya, dalam ruang EV, BYD masih menerajui penggunaan EV di negara ini dengan menguasai 71 peratus daripada jumlah pasaran tempatan pada suku pertama tahun ini, meskipun model-model EV baharu berpusu-pusu memasuki pasaran.
“Hal ini demikian kerana harganya yang lebih murah berbanding pesaing lain,” katanya menerusi satu nota penyelidikan.
Menurut laporan Persatuan Automotif Malaysian (MAA), TIV pada bulan Mac mencecah 71,052 unit atau penurunan sebanyak 10 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, namun 11 peratus lebih tinggi berbanding prestasi pada Februari.
Walau bagaimanapun, Syahril berkata seperti dijangkakan TIV pada suku pertama tahun ini adalah lima peratus lebih tinggi berikutan penyempurnaan pesanan yang tertunggak.
“Untuk suku-suku akan datang, kami jangkakan jumlah lebih rendah tahun le tahun apabila jumlah jualan kembali normal,” katanya.
RHB Investment Bank mengekalkan saranan neutral terhadap sektor automotif.
Syahril berkata, TIV setakat tahun ini telah mececah 202,200 unit, dengan kenaikan bulanan pada Mac mungkin berpunca daripada penghantaran yang lebih kukuh sebelum musim perayaan Aidilfitri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.