comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga barangan di pintu kilang catat penurunan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR), yang mengukur harga barangan di pintu kilang turun kepada negatif 0.8 peratus pada Februari 2023, berbanding 1.3 peratus pada Januari 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan itu adalah kadar negatif pertama yang direkodkan sejak Januari 2021, disebabkan oleh kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah.

“Trend penurunan ini terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan.

“Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turun negatif 26.1 peratus dengan indeks buah tandan segar kelapa sawit melaporkan penurunan negatif 40.5 peratus pada Februari 2023.

Pada masa yang sama, indeks perlombongan turun kepada negatif 6.5 peratus disebabkan terutamanya oleh penurunan indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak negatif 16.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks pembuatan meningkat 3.0 peratus pada Februari 2023, menyederhana daripada 4.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, ini disebabkan oleh peningkatan indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (8.5 peratus).

Manakala, katanya bagi sektor utiliti, indeks bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 3.7 peratus dan 1.0 peratus.

“Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan menurun kepada negatif 0.2 peratus pada Februari 2023 berbanding negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Semua sektor mencatatkan penurunan kecuali sektor bekalan elektrik dan gas yang kekal tidak berubah,” katanya.

Mengulas mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak negatif 16.9 peratus pada Februari 2023 berikutan penurunan negatif 20.3 peratus dalam bahan bukan makanan.

Bagaimanapun, katanya bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat sederhana 3.3 peratus pada Februari 2023 disebabkan oleh bekalan (10.8 peratus), bahan api yang diproses dan pelincir (8.9 peratus) serta bahan dan komponen untuk pembinaan (4.3 peratus).

“Barang siap mencatatkan peningkatan 4.0 peratus disebabkan oleh indeks kelengkapan modal (4.9 peratus) dan barangan pengguna siap (3.0 peratus),” katanya.

Loading...
Terkini