PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang terus menyederhana untuk mencatatkan 3.2 peratus pada November 2022 berbanding 4.0 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2022.
Perkembangan itu disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah walaupun harga komoditi utama mula menunjukkan trend meningkat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada November 2022, semua sektor mencatatkan kenaikan kecuali pertanian, perhutanan & perikanan yang mencatatkan kejatuhan negatif 18.5 peratus, disebabkan oleh penurunan dalam indeks penanaman tanaman kekal (-28.9 peratus).
Indeks bagi sektor ini merekodkan penurunan dua angka bagi lima bulan berturut-turut.
Sementara itu, indeks pembuatan naik 6.2 peratus, disumbangkan oleh kenaikan 16.3 peratus dalam indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis, diikuti oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (6.9 peratus), pembuatan kimia & produk kimia (3.1 peratus) dan pembuatanproduk makanan (2.8 peratus).
Pada masa yang sama, indeks perlombongan mencatatkan peningkatan 2.4 peratus.
Bagi indeks utiliti, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing merekodkan kenaikan 4.2 peratus dan 1.4 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan naik 0.6 peratus pada November 2022 berbanding 0.1 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks pertanian, perhutanan & perikanan yang meningkat 5.5 peratus pada November 2022, dipacu oleh kenaikan dalam indeks penanaman tanaman kekal (8.1 peratus), perikanan (6.0 peratus) dan penanaman tanaman tidak kekal (0.1 peratus).
“Harga buah tandan segar kelapa sawit pada November 2022 meningkat 9.2 peratus. Selain itu, cuaca hujan berterusan turut menyumbang kepada kenaikan harga komoditi perikanan dan sayur-sayuran,” katanya menerusi satu kenyataan.