comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Harga bahan api diapung berperingkat lebih sesuai – Bank Dunia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pemansuhan subsidi bahan api secara mendadak boleh memberi kesan kepada inflasi, justeru lebih wajar mengapungkan harga bahan api mengikut harga pasaran secara berperingkat bagi mengurangkan impaknya kepada golongan rentan, kata Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin, berkata berdasarkan analisis, pihaknya mendapati pemansuhan subsidi bahan api secara keseluruhan dan mendadak boleh menyebabkan kadar inflasi meningkat sebanyak sembilan peratus.

Pada masa sama, katanya, komunikasi yang berkesan juga perlu untuk memastikan semua pihak jelas mengenai bila, bagaimana dan impak subsidi bersasar dilaksanakan.”Kita perlu buat secara berperingkat dan memang itu sudah diberitahu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Kementerian Kewangan,” katanya kepada BH pada temu bual eksklusif baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Ekonomi Bank Dunia, Deisigan Shammugam.

Beliau berkata demikian mengulas pendekatan terbaik untuk memastikan pelaksanaan subsidi bersasar bahan api tidak memberi kesan mendadak kepada peningkatan harga barang dan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan kumpulan isi rumah rentan.

Shakira berkata, selain mekanisme pelaksanaan yang baik disertai komunikasi berkesan, pemansuhan subsidi perlu diiringi pemberian bantuan tunai kepada kumpulan isi rumah yang terkesan bagi mengurangkan impak rasionalisasi subsidi bahan api kepada golongan rentan.

Beliau berkata, lazimnya dalam mana-mana pembaharuan subsidi terutama membabitkan peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, ia seharusnya disusuli bantuan tunai.

“Memberi bantuan tunai kepada isi rumah terkesan amat penting. Saya fikir ia adalah antara satu sebab kenapa Kementerian Ekonomi membuat Pangkalan Data Utama (PADU) supaya sebolehnya semua isi rumah yang patut dapat bantuan sekurang-kurangnya dapat menerima bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Mengulas pandangan sesetengah pihak pemberian bantuan tunai akan menyebabkan kebergantungan isi rumah rentan kepada bantuan kerajaan, Shakira mempunyai pandangan berbeza.

Beliau berkata, kajian dalaman Bank Dunia menunjukkan bantuan tunai berkesan untuk mengurangkan kesenjangan dan merapatkan jurang kemiskinan.

Jelasnya, apa yang penting dari segi pelaksanaan bantuan tunai ialah kumpulan sasaran dan kuantum jumlah pemberian bantuan tunai itu sendiri.

“Apa yang kita nampak daripada PADU ialah untuk mengenal pasti isi rumah yang berhak mendapat bantuan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini