KUALA LUMPUR: Penampilan pertama Glostrext Bhd di Pasaran ACE Bursa Malaysia ternyata kukuh apabila dibuka pada harga 65 sen dengan premium 46 sen atau 242 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 19 sen.
Sewaktu dagangan dimulakan, penyedia perkhidmatan instrumentasi dan pengujian geoteknikal itu menyaksikan 11.84 juta sahamnya saling berpindah tangan.
Pengarah Urusannya Dr Lee Sieng Kai berkata syarikat tersebut akan memanfaatkan kehadiran di Singapura pada masa ini bagi mengembangkan lagi perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur serta tanah dalam masa nyata yang menjadi sebahagian daripada perancangan pertumbuhan dan pengembangan perniagaan.
“Kami merancang untuk mengembangkan perniagaan ke Singapura dalam tempoh tiga tahun akan datang. Kami juga melihat peluang di kedua-dua pasaran Malaysia dan Singapura dengan aspek automasi menjadi lebih lazim. Permintaan untuk data pemantauan secara langsung atau masa nyata juga adalah ketara,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian IPO itu di Bursa Malaysia, hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata peruntukan kerajaan Singapura untuk subsektor pengangkutan juga meningkat daripada S$5.33 bilion (S$1=RM3.41) pada 2020 sehingga paras tertinggi S$9.42 bilion dalam 2023, dengan lebih 40 peratus diperuntukkan bagi pengembangan rangkaian rel dan projek-projek berkaitan.
“Ini berperanan sebagai asas kukuh untuk permintaan berterusan yang membolehkan kemajuan perkhidmatan instrumentasi dan pengujian geoteknikal.
“Selain itu, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bangunan 2003, pengujian beban cerucuk adalah diwajibkan manakala pemantauan geoteknikal diperlukan untuk semua pembinaan bangunan dan infrastruktur di Singapura. Kami percaya berada dalam kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada keperluan tersebut bagi memperoleh jualan serta mengembangkan lagi perniagaan kami di republik itu,” katanya.
Glostrext berjaya mengumpul sejumlah RM20.1 juta menerusi langkah penyenaraian di Pasaran ACE dengan RM11.7 juta atau 58.2 peratus daripada jumlah terkumpul akan diperuntukkan bagi membiayai rancangan pengembangan perniagaan di Singapura serta bagi tujuan modal kerja.
Setakat 30 Jun 2023, perkhidmatan pengujian instrumen cerucuk dan beban statik Glostrext, disediakan terutamanya kepada pelanggan di Singapura dan Malaysia manakala perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur serta tanah pula terutamanya disediakan untuk pelanggan di Malaysia.
Dari segi lokasi geografi, Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar hasil bagi penawaran perkhidmatan instrumentasi geoteknikalnya, menyumbang sebanyak RM4.60 juta manakala RM1.81 juta dari Malaysia serta Kemboja sebanyak RM0.02 juta.
Syarikat tersebut adalah yang ke-15 disenaraikan di Pasaran ACE dan ke-23 di Bursa Malaysia bagi tempoh setakat tahun ini.