KUALA LUMPUR:Cabang penyelesaian tenaga bersih Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Gentari Sdn Bhd, berminat untuk mengembangkan jejaknya dalam penyelesaian tenaga bersih di India melalui tiga tawaran terasnya pada masa ini iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau.
Syarikat itu berkata India adalah pasaran pertumbuhan yang penting untuk Gentari dan pelaburannya dalam projek-projek tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen di negara itu adalah kesinambungan kepada memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan pelbagai kerajaan negeri.
“Di Tamil Nadu, kami telah memeterai memorandum persefahaman dengan kerajaan negeri untuk menjalankan kajian kemungkinan ke atas pengeluaran hidrogen hijau. Kami akan mengumumkan kemajuan pelaburan-pelaburan ini dalam masa terdekat,” kata Gentari kepada Bernama sebagai respons kepada laporan baru-baru ini bahawa Petronas akan melabur 340 bilion rupee (RM18.7 bilion) dalam projek-projek di negeri Tamil Nadu, selatan India.
Menurut laporan media India, syarikat minyak negara berhasrat untuk menubuhkan loji hidrogen dan ammonia hijau dan projeknya telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Ia merupakan satu daripada lima cadangan pelaburan daripada syarikat India dan asing yang diluluskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh ketua menteri M.K. Stalin di Chennai, kata laporan itu.
Sebagai sebuah negara yang menuju ke arah menjadi ekonomi keempat terbesar dan pengguna tenaga ketiga terbesar di dunia, India mempunyai potensi pertumbuhan yang luas untuk pembangunan tenaga karbon rendah yang mampan, boleh dipercayai dan berhemat, kata Gentari.
“Ini menawarkan peluang kepada pemain global untuk mengambil bahagian dalam menyokong matlamat India untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2070, termasuk memenuhi 50 peratus keperluan elektriknya dengan sumber bukan berasaskan bahan api fosil menjelang 2030,” tambahnya.
Gentari berkata ia telah mencapai kemajuan yang baik dalam tenaga boleh diperbaharui di India dengan kapasiti solar 1.4 gigawatt yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 350 pelanggan, terutamanya dalam sektor komersial dan perindustrian, serta dalam skala utiliti boleh diperbaharui.
Di samping itu, usaha mobiliti hijau Gentari di India telah mencapai kejayaan yang ketara.
Kenderaan-sebagai-Perkhidmatannya telah mencatatkan masa empat juta kilometer bersih melalui rangkaian semasa kira-kira 1,000 kenderaan elektrik tiga roda yang menyediakan perkhidmatan logistik dan e-dagang pengendali pihak ketiga serta pengguna persendirian, disokong oleh lebih daripada 170 titik pengecasan.
“Gentari mempunyai beberapa inisiatif dalam perancangan di India dan kami akan mengumumkan perkembangan baharu pada masa hadapan,” tambahnya.