Tumpuan :
Detik Niaga

Gentari, BMW teroka kerjasama perkhidmatan mobiliti hijau

Timb. Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Green Mobility, Shah Yang Razalli bertukar dokumen perjanjian kerjasama strategik dengan  Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser

KUALA LUMPUR: Pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari) melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan BMW Group Malaysia (BMW) bagi meneroka pelaksanaan perkhidmatan dan penyelesaian mobiliti hijau.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Green Mobility, Shah Yang Razalli, berkata Gentari dan BMW ketika ini sedang aktif berganding bahu untuk meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, ini termasuk pemasangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pelbagai kemudahan, antara lainnya di jaringan wakil pengedar BMW.

Katanya, pelbagai penyelesaian bagi EV di pasaran Malaysia; perkhidmatan nilai tambah bagi pemilik EV BMW termasuk pelan langganan pengecasan EV, ruang persinggahan EV, kemudahan pengecasan mudah alih dan pengerahan infrastruktur tenaga boleh baharu secara bersama.

“Kami teruja menjalin kerjasama dengan jenama automotif yang amat berprestij seperti BMW bagi meluaskan lagi aksesibiliti perkhidmatan dan penyelesaian mobiliti hijau di Malaysia.

“Sementara itu, keupayaan Gentari dalam arena tenaga boleh baharu juga akan membantu mewujudkan rantaian nilai tenaga hijau yang komprehensif.

“Bersama-sama, kita dapat membuka haluan bagi alaf yang lebih hijau dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, berkata sebagai pengeluar kenderaan premium terkemuka dengan portfolio EV yang terbesar di Malaysia, pihaknya gembira dengan kerjasama itu.

Beliau berkata, peluang bersama Gentari dapat membangunkan lebih banyak lagi penyelesaian, perkhidmatan dan infrastruktur mobiliti dengan harapan meningkatkan penggunaan dan amalan teknologi yang bersih serta bertanggungjawab dalam industri automotif negara.

“Saya sudah dapat membayangkan yang usaha sama ini bakal mencorak landskap mobiliti masa depan Malaysia, menyediakan banyak lagi penyelesaian yang tercipta melalui pembangunan lestari dan juga usaha sirkulariti,” katanya.

Loading...
Terkini