comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Gas Malaysia belanja RM1.4 bilion bina talian paip 800 km

Foto: Gas Malaysia

SHAH ALAM: Gas Malaysia Bhd akan memperuntukkan perbelanjaan modal antara RM1.2 bilion dan RM1.4 bilion untuk membina talian paip gas sehingga 800 kilometer (km) di Semenanjung Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap, berkata, walaupun tenaga boleh baharu (TBB) mula digunakan, syarikat itu yakin bahawa gas asli masih relevan untuk jangka panjang memandangkan bahan api ini mengeluarkan karbon dioksida lebih rendah berbanding bahan api fosil lain.

“Kami yakin lebih ramai pengguna akan melanggan kontrak jangka panjang Gas Malaysia berikutan pengalaman kami selama 31 tahun dalam perniagaan ini. Malah, semasa pandemik COVID-19, kami telah menambah tenaga kerja dan meneruskan pembinaan infrastruktur kami,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran ‘Pelan Kelestarian Perniagaan: Horizon Lebih Lestari’ Gas Malaysia oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ahmad Hashimi berkata, sejak 30 tahun lalu, Gas Malaysia telah membina talian paip gas sepanjang 2,800 km, khususnya di kawasan perindustrian dan beberapa kemudahan kawasan kediaman dan komersial.

Mengulas peranan Gas Malaysia dalam mempromosi biometana sebagai sumber TBB, beliau berkata syarikat telah mewujudkan dua tapak operasi di Johor dan bercadang untuk membina dua tapak lagi sebelum separuh pertama tahun depan.

“Menerusi perbelanjaan modal kira-kira RM15 juta hingga RM20 juta bagi setiap tapak yang meliputi stesen biometana dan perolehan jualan, kami menyasarkan untuk menggandakan jumlah stesen pada setiap tahun.

“Sebagai perintis dalam perniagaan biometana, kami berhasrat untuk mempromosi dan meneruskan sesi libat urus dengan kerajaan dan badan kawal selia bagi memastikan kami menerima cukup sokongan daripada kerajaan, dan mungkin ada banyak inisiatif pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam ucapannya berkata peralihan daripada bahan api fosil bukan sahaja selaku reaksi kepada tekanan global, malah sebagai peluang kepada pertumbuhan dan inovasi.

Loading...
Terkini