KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan seperti yang dijangkakan meskipun tanpa konsesi lebuh raya, demikian menurut penganalisis.
Syarikat infrastruktur terkemuka Malaysia itu mencatatkan keuntungan bersih RM194.62 juta pada suku kedua berakhir 31 Januari 2023 berbanding RM177.13 juta tempoh sama tahun sebelumnya, disumbangkan pendapatan bahagian pembinaan dan hartanah yang lebih kukuh.
Pendapatannya dalam tempoh itu turut meningkat kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.22 bilion sebelum ini.
Penganalisis PublicInvest Research, Chin Li Shan, berkata pendapatan perniagaan teras Gamuda iaitu bahagian kejuruteraan dan pembinaan mengisi kekosongan yang ditinggalkan aset konsesi lebuh raya, yang mana pendapatan bahagian itu mencatatkan peningkatan 54.4 peratus.
Beliau berkata, seperti yang dijangkakan, untung bersih teras Gamuda pada suku kedua tahun kewangan 2023 meningkat 33.9 peratus meskipun sumbangan sifar daripada aset lebuh raya.
“Kami anggap keuntungan bersih teras suku kedua tahun kewangan 2023 secara umum selaras dengan unjuran kami dan konsensus dengan masing-masing 49.5 peratus dan 48.3 peratus.
“Walau bagaimanapun, kami menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 secara purata sebanyak 33 peratus bagi menggabungkan pengambilalihan yang berlaku sebelum suku kedua tahun kewangan 2023 iaitu ERS Energy dan DT Infrastruktur (DTI) yang melonjakkan kontrak pembinaan 37.5 peratus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Gamuda pada tahun lalu telah melupuskan semua kepentingannya dalam Kesas Sdn Bhd (Kesas); Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint); Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR).
Mengenai prospek Gamuda, Li Shan berkata, secara keseluruhannya, pihaknya menjangkakan syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur itu akan terus mengekalkan trajektori pendapatan meningkatnya.
Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan saiz kontrak semasa RM20.5 bilion, yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan 2027, ditambah pula dengan jualan hartanahnya yang belum dibilkan bernilai RM5.4 bilion.
Namun begitu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap operasi syarikat itu dari segi perolehan aliran tunai memandangkan projek tertentu Gamuda memerlukan perbelanjaan modal yang besar.
“Kami mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap harga saham Gamuda, dengan sasaran harga RM5.10 berbanding RM4.30 sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, CGS-CIMB menerusi nota penyelidikannya turut mengulangi saranan ‘tambah’ terhadap saham Gamuda dengan sasaran harga RM4.69.
Katanya, ia susulan perolehan lebih kukuh kumpulan daripada penerokaan di luar negara serta buku pesanan yang dijangka mencecah rekod tertinggi baharu RM20.5 bilion daripada pengambilalihan perniagaan projek pengangkutan Downer Group (DTP) di Australia, yang dijangka muktamad menjelang Jun 2023. –BERITA HARIAN