comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Gaji, upah dibayar sektor pembuatan naik 3%

Foto Hiasan

PUTRAJAYA: Gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat tiga peratus kepada RM8 bilion pada Jun 2023 berbanding setahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja turut mencatatkan peningkatan 0.9 peratus kepada RM3,432, namun nilai jualan bagi setiap pekerja jatuh sebanyak 5.9 peratus kepada RM62,853.

Beliau berkata, sektor pembuatan juga merekodkan seramai 2.35 juta pekerja pada Jun 2023, meningkat 2.1 peratus berbanding 2.30 juta orang yang dicatatkan setahun lalu.

Katanya, kenaikan itu didorong terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik (3.4 peratus); produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (1.8 peratus); dan kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (1.6 peratus).

“Bilangan pekerja dan gaji & upah pada suku tahun kedua 2023, masing-masing tumbuh sederhana sebanyak 2.1 peratus dan 3.6 peratus daripada 2.8 peratus dan 4.3 peratus pada suku pertama,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata, bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji & upah menyusut 0.6 peratus daripada RM8.1 bilion yang direkodkan Mei 2023, manakala bilangan pekerja dalam sektor itu juga berkurang secara marginal sebanyak 0.4 peratus.

Beliau berkata, nilai jualan sektor pembuatan merekodkan penyusutan pertama sejak suku kedua 2020 sebanyak satu peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya dengan kemerosotan itu disumbangkan oleh subsektor makanan, minuman & tembakau (-12.7 peratus); dan petroleum, kimia, getah & plastik (-4.8 peratus).

“Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM888.6 bilion, berkembang sebanyak 3.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Pada tempoh berkenaan, bilangan pekerja bertambah 2.1 peratus kepada seramai 2.35 juta orang manakala gaji & upah tumbuh 4.0 peratus, mencatatkan RM48.7 bilion. Seterusnya, nilai jualan setiap pekerja berjumlah RM378,855 yang merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus,” katanya.

Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 73 peratus daripada jumlah jualan, merosot 7.4 peratus pada Jun 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.1 peratus pada bulan sebelumnya dengan penurunan itu disebabkan terutamanya oleh industri pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (-27.4 peratus); pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-18.6 peratus); dan pembuatan produk getah (-13.2 peratus).

Loading...
Terkini