Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan kadar lebih rendah empat peratus.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, berkata GST mampu memastikan hasil berterusan untuk melaksanakan projek pembangunan dengan tidak terlalu bergantung kepada defisit fiskal.
“Bajet setiap tahun memerlukan RM50 bilion hingga RM100 bilion bajet yang berbeza. Semua bajet berbeza ini adalah berdasarkan pinjaman. Hasil dan perbelanjaan operasi negara juga hampir sama. Jadi apakah hasil yang boleh ditingkatkan?,” katanya pada sidang media Tinjauan Persekitaran Perniagaan FMM.
Tambah beliau, penjanaan hasil daripada GST dapat meningkatkan keyakinan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), bagi manfaat pertumbuhan ekonomi negara jangka panjang. Ini selain dapat mewujudkan bajet pembangunan yang lebih besar untuk melaksanakan projek berimpak tinggi.
Cukai yang dikenakan bagi mereka bergaji kurang RM4,000 juga boleh ditukarkan kepada baucer termasuk makanan, pengangkutan serta elektrik bagi meringankan beban golongan itu.
“Jika (GST) diperkenalkan pada empat peratus, mereka bergaji kurang RM4,000 perlu membayar RM160 setiap bulan. Kerajaan boleh menggunakan hasil ini sebagai baucer menyokong mereka termasuk kumpulan B40.
“Jika kerajaan menunggu sehingga rakyat mendapat gaji yang bagus, sampai bila kerajaan perlu menunggu? Kerana kuasa membeli bergantung kepada kekuatan nilai mata wang kita. Jika ada GST, gaji yang bagus, hasil yang baik, seterusnya akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja FDI, tetapi juga DDI,” katanya.
Dalam pada iitu, bekas Presiden FMM, Tan Sri Saw Choo Boon menambah, pertumbuhan hasil negara juga sangat bergantung kepada prestasi kerajaan itu sendiri.
“Dari apa saya lihat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah yang baik dan mula melihat hasil daripada strategi yang diambil. Jika mereka dapat terus menarik pelaburan terutama pelaburan asing, ia akan meraih impak besar,” katanya.