SINGAPURA: Firma Malaysia semakin mendapat permintaan daripada syarikat reka bentuk semikonduktor dari China bagi memasang sebahagian daripada cip bernilai tinggi dari negara itu.
Ia juga sebahagian daripada langkah melindungi nilai risiko sekiranya Amerika Syarikat (AS) memperluaskan sekatan ke atas industri cip China.
Syarikat-syarikat itu meminta pengilang cip Malaysia untuk memasang sejenis cip yang dikenali sebagai unit pemprosesan grafik (GPU).
Permintaan itu hanya merangkumi pemasangan yang tidak melanggar sebarang sekatan AS dan bukan fabrikasi wafer cip.
Beberapa kontrak telahpun dipersetujui, menurut beberapa sumber yang enggan dikenali.
AS ketika ini berusaha untuk mengehadkan akses China kepada GPU bernilai tinggi yang boleh mencetuskan penemuan kecerdasan buatan atau kuasa superkomputer dan aplikasi ketenteraan.
Penganalisis berkata, disebabkan sekatan itu, firma reka bentuk semikonduktor China yang bersaiz lebih kecil sedang bergelut untuk mendapatkan perkhidmatan pembungkusan termaju yang mencukupi.
Beberapa syarikat China berminat dalam perkhidmatan pembungkusan cip termaju yang ada di Malaysia.
Malaysia yang juga hab utama dalam rantaian bekalan semikonduktor, dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang perniagaan itu apabila firma cip China mula meninjau kemudahan pemasangan di luar China.
Unisem, yang majoritinya dimiliki oleh Huatian Technology dari China serta syarikat pembungkusan cip Malaysia yang lain telah menyaksikan peningkatan perniagaan dan pertanyaan daripada pelanggan China, kata sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu.