comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Firefly mula penerbangan Pulau Pinang – Banda Aceh

JAKARTA: Firefly melancarkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda (BTJ) di Banda Aceh, Indonesia.

Penerbangan FY3510 mula menggunakan laluan baharunya semalam ketika ia berlepas dari PEN pada 10:50 pagi waktu tempatan dan tiba pada 11:10 pagi di BTJ, menggunakan pesawat Boeing 737-800, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) itu akan mengendalikan perkhidmatan dua kali seminggu ke BTJ dari PEN dan sebaliknya, berlepas pada hari Isnin dan Jumaat melalui penerbangan FY3510 dan FY3511.Kekerapan perkhidmatan akan meningkat secara beransur-ansur kepada empat kali seminggu mulai Disember tahun ini, sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan rangkaian di seluruh ASEAN, katanya.

Majlis sambutan telah diadakan di BTJ dengan kehadiran Ketua Jualan Global MAG, Roslan Ismail, manakala pasukan pengurusan Firefly adalah antara penumpang yang menyertai penerbangan sulung itu.”Kami menjangkakan kemasukan pelancong perubatan dan percutian yang tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See sambil menambah ini akan lebih memudahkan masyarakat Aceh untuk mengunjungi keluarga dan teman-teman mereka.

Mereka juga boleh mendapatkan rawatan perubatan daripada pusat perubatan yang ditubuhkan, meneroka warisan Pulau Pinang dan membolehkan pelajar mendaftar di universiti dan kolej Malaysia yang diiktiraf antarabangsa, katanya.

Sementara itu, Ketua Pelancongan dan Kebudayaan Aceh, Almunizar Kamal, berkata laluan itu mampu membantu memacu pertumbuhan pelancongan kedua-dua belah pihak, Aceh dan Pulau Pinang.”Aceh, yang terletak di barat laut Indonesia, terkenal dengan pelancongan pantai yang menarik, bangunan pelancongan bersejarah, kulinari istimewa dan kopi. Ini akan menjadi tarikan hebat untuk pelancong,” katanya.-BERNAMA

Loading...
Terkini