Tumpuan :
Detik Niaga

FGV terima Anugerah ESG,bukti amalan perniagaan yang lestari

FOTO : FGV Holdings Berhad / FACEBOOK

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) terus menempa nama dengan merangkul beberapa anugerah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang dipandang tinggi pemain industri iaitu Kelas Aset ASEAN – Malaysia pada Anugerah Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2021 di Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF), diikuti Anugerah Kepimpinan Pembangunan Minyak Sawit Lestari Malaysia 2022 di Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan dan Anugerah Kecemerlangan Korporat Sektor Komoditi bagi Rantaian Nilai Lestari 2022 di Anugerah International Business Review (IBR) ASEAN, baru-baru ini.

Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) mengumumkan FGV sebagai salah satu daripada 54 syarikat senaraian awam (PLC) Malaysia dan merupakan antara 234 syarikat yang memperoleh sekurang-kurangnya 97.5 mata di ACGS 2021.

Anugerah ini membabitkan enam negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.

Penilaian adalah berdasarkan maklumat yang tersedia secara umum dan memenuhi piawaian tadbir urus korporat antarabangsa.

Kedudukan FGV juga meningkat daripada tempat ke-70 kepada tempat ke-51 dalam Kad Skor MSWG 2021.

Anugerah ACGS membuktikan komitmen FGV dalam melaksanakan amalan perniagaan yang beretika dalam operasinya bagi mempertingkatkan reputasi dan memupuk kepercayaan di kalangan pemegang berkepentingannya.

Ini sejajar dengan visi Kumpulan untuk menjadi pemain industri makanan dan perniagaan tani yang lestari di peringkat global.

FGV terus berusaha untuk memperkasakan integriti dan pematuhan kepada kod tingkah laku dalam memerangi sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan mengiktiraf syarikat terkemuka menerusi pelaksanaan inovasi dan pencapaian luar biasa dalam industri masing-masing.

Melalui proses penilaian analitikal yang ketat membabitkan beberapa pencalonan lain, Frost & Sullivan memperakui inisiatif dan amalan terbaik FGV dalam memastikan pematuhan terhadap sumber dan pengeluaran yang bertanggungjawab, hak asasi manusia, piawaian buruh, perlindungan kanak-kanak, kesaksamaan jantina, ekonomi pekeliling dan pengurusan biodiversiti dan hidupan liar seperti yang termaktub dalam tonggak Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan FGV.

Sementara, Anugerah IBR ASEAN 2022 mengiktiraf organisasi dan pemimpin korporat yang mencatat prestasi cemerlang di rantau ASEAN.

FGV dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Korporat Sektor Komoditi bagi Rantaian Nilai Lestari 2022 berdasarkan inisiatif contoh terbaik amalan kelestarian oleh panel juri.

Anugerah berprestij ini membuktikan usaha berterusan FGV mengutamakan ESG dalam operasi dan aktiviti perniagaan Kumpulan, sejajar dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

FOTO : FGV Holdings Berhad / FACEBOOK

Dato’ Nazrul Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV berkata “Ini adalah pembakar semangat untuk meneruskan usaha ke arah pelaksanaan inisiatif ESG bersama rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan kami. FGV ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur anugerah dan panel juri kerana mengiktiraf usaha kami.

“Sebagai pengeluar produk minyak sawit dan gula terbesar di Malaysia, kami tertakluk kepada piawaian kelestarian global yang semakin ketat. Kami menghadapi pelbagai cabaran berterusan dan kami berhasrat untuk mengubah naratif industri minyak sawit Malaysia menerusi Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan kami yang merangkumi pertumbuhan ekonomi, menghormati hak asasi manusia dan melindungi alam sekitar.

Di FGV, kami percaya kelestarian perlu diutamakan, barulah keuntungan dan pertumbuhan akan menyusul,” tambahnya.

Loading...
Terkini