DUBAI: FGV Holdings Bhd (FGV) meluaskan lagi kehadirannya dalam segmen makanan & minuman (F&B) di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) dengan memperkenalkan dua produk makanan baharu di bawah jenama SAJI iaitu Krimer Pekat Manis SAJI dan Krimer Sejat SAJI.
Krimer Pekat Manis SAJI adalah alternatif yang mudah dan lazat untuk minuman seperti kopi, teh atau ‘smoothie’ yang memaniskan serta melengkapkan rasa hidangan tanpa gula atau perasa tambahan.
Menampilkan pilihan dalam pek 40 gram untuk penggunaan sekali, produk ini turut didatangkan dalam saiz yang lebih besar iaitu 390 gram dan 500 gram. Krimer ini dihasilkan daripada pepejal susu, gula dan minyak sawit, lebih rendah kalori dan rendah lemak.
Turut diperkenalkan adalah pilihan tanpa gula, Krimer Sejat SAJI yang boleh didapati dalam pek 170 gram dan 380 gram.
Produk ini menambah tekstur yang lebih berkrim untuk minuman seperti kopi, teh dan coklat panas serta mampu menambah kelazatan hidangan.
Kedua-dua produk ini menawarkan jangka hayat yang lebih lama, tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk menjadikannya barangan keperluan dapur yang senang untuk digunakan.
Tambahan lagi, produk ini bukan sekadar untuk penyediaan minuman, malah boleh digunakan dalam pelbagai resipi masakan seperti pencuci mulut, kek, roti serta hidangan lauk pauk.
Majlis pelancaran kedua-dua produk ini diadakan di Gulfood 2024, ekspo makanan terbesar di dunia yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Dubai pada 19 hingga 23 Februari.
Ia dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.Turut hadir, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.