Tumpuan :
Detik Niaga

FGV mantapkan perniagaan pengangkutan kontena

FGV Holdings Bhd (FGV).

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV), melalui anak syarikat di bawah sektor logistiknya, FGV Transport Services Sdn Bhd (FTSSB) mengukuhkan perniagaan pengangkutan kontena bagi memperkasakan lagi pendapatan kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor, berkata bagi tujuan itu, kumpulan telah menambah 41 unit lori MAN TGS 6×4 prime mover baharu dengan spesifikasi enjin karbon rendah Euro V.

Beliau berkata, penambahan kepada asset FTSSB ini terdiri daripada lima unit lori MAN TGS 4×2 dan 10 unit lori 6×2 yang akan digunakan untuk pengangkutan kontena selain 26 unit lori lagi adalah MAN TGS 6×4 prime mover yang sesuai untuk pengangkutan kargo. Katanya, proses pemasangan lori MAN TGS dilakukan di Serendah, Selangor oleh MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia), anak syarikat milik penuh MAN Truck & Bus SE dari Jerman.

Sektor logistik katanya telah menjadi antara penyumbang utama kepada prestasi kewangan kumpulan FGV berikutan peningkatan kadar pengendalian dan pengangkutan serta volum pemprosesan yang lebih tinggi untuk perniagaan pengangkutan dan penyimpanan sepanjang tahun lalu.

“Pelaburan untuk lori generasi baharu yang berteknologi tinggi, jimat bahan api dan trak rendah karbon daripada MAN ini akan membolehkan FGV meraih peluang dalam sektor ini.

“Ia juga akan memperkukuhkan ikrar FGV untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang merupakan sebahagian daripada komitmen terhadap amalan perniagaan yang lestari,” katanya.

Nazrul berkata, perolehan lori MAN TGS ini akan membantu mengembangkan perniagaan pengangkutan FGV kerana lori ini dapat mematuhi keperluan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Beliau berkata, kumpulan berpuas hati dengan prestasi semasa lori MAN TGS dan yakin bahawa lori MAN TGS ini akan memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan jejak karbon sebagai salah satu fokus di bawah Tonggak Melindungi Alam Sekitar bagi Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan.

MAN adalah pengeluar lori pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V bagi seluruh rangkaian produknya dan kini mendahului dalam memacu mobiliti yang lestari dalam sektor pengangkutan.

Kolaborasi 41 unit lori terbaharu ini adalah berdasarkan tender terbuka kedua oleh FTSSB yang dimenangi MAN Malaysia berikutan pemerolehan awal 44 unit lori MAN TGS generasi sebelumnya pada tahun 2021.

Lori MAN TGS Baharu FTSSB didatangkan dengan teknologi terkini seperti MAN Telematics dan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), termasuk Beg Udara Keselamantan khas buat Pemandu, Sistem Amaran Penukaran Lorong dan Sistem Brek yang termasuk Pretarder dan Retarder. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini