Tumpuan :
Detik Niaga

FGV fokus perniagaan lestari, mendukung hak asasi pekerja

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) menyatakan komitmen ke arah usaha kelestarian syarikat dengan meletakkan keutamaan dalam amalan perniagaan mampan termasuk memberi penekanan terhadap hak asasi manusia.

Komitmen FGV juga selaras dengan visi untuk menjadi pengeluar makanan serta produk agri yang lestari kepada dunia.

Dengan meletakkan kemampanan sebagai fokus utama, misi kelestarian FGV diteruskan dengan tiga tonggak Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan FGV iaitu menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menghormati hak asasi manusia dan melindungi alam sekitar.

“FGV komited dalam menghormati dan menegakkan prinsip serta piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) serta instrumen hak asasi manusia antarabangsa lain yang berkaitan,” kata kumpulan perladangan terkemuka itu.

Antara inisiatif terkini yang telah diambil oleh FGV adalah menyemak dan mengemaskini gaji minimum bulanan pekerja daripada RM1,200 kepada RM1,500 bermula Mei tahun lalu.

Di samping itu, bagi menghormati hak pekerja migran, FGV memastikan semua pekerja migran diberi kemudahan bagi membolehkan mereka menyimpan dokumen pengenalan diri masing-masing. Ini termasuklah menyediakan peti penyimpanan pasport berpusat serta kemudahan loker, di mana kunci disimpan oleh pekerja sendiri.

Pekerja migran bebas memilih kaedah penyimpanan yang bersesuaian bagi mereka.

Selain itu, FGV juga mewujudkan beberapa inisiatif bagi menjaga kebajikan mereka termasuk menaik taraf perumahan serta kemudahan pekerja.

“Bagi tempoh 2018 sehingga 2022, FGV telah membelanjakan sebanyak RM412 juta untuk pembinaan perumahan baharu, membaik pulih kemudahan perumahan serta memastikan bekalan elektrik dan air tidak terganggu,” katanya.

Menurut FGV, aspek pengambilan pekerja migran tanpa kos turut diberi penekanan oleh syarikat perladangan itu.

Ia menegaskan bahawa kos pengambilan pekerja ditanggung oleh FGV dan pekerja migran tidak dikenakan sebarang bayaran oleh mana-mana pihak termasuk ejen pekerjaan di negara asal.

Bagi menangani Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang menyekat kemasukan produk sawit FGV ke negara berkenaan atas dakwaan pengamalan buruh paksa, FGV telah mengambil beberapa tindakan seperti memperuntukkan sejumlah RM112 juta bagi pembayaran semula kos pengambilan pekerja kepada semua pekerja migran FGV termasuk yang telah kembali ke negara asal, berdasarkan syarat-syarat tertentu.

FGV akan membuat pembayaran semula bagi pekerja sedia ada dalam tiga fasa bermula Mac sehingga September tahun ini.

Pembayaran pertama berjumlah RM28.48 juta telah pun dibuat pada 15 Mac lalu kepada hampir 20,000 pekerja migran dalam operasi ladang FGV, dan pembayaran seterusnya dijadualkan pada bulan Jun dan September 2023.

FGV turut memperkemaskan prosedur pengambilan pekerja dengan melantik agensi pekerjaan baharu yang mematuhi prinsip dan piawaian pengambilan pekerja secara beretika dan bertanggungjawab.FGV sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan pekerja migran terjamin. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini