Tumpuan :
Detik Niaga

FDI Malaysia terus mengukuh – PM

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) angka FDI untuk 2024 lebih tinggi dari yang diunjurkan sebelumnya.

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bimbang dengan penurunan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang direkod tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan nilai keseluruhan pelaburan diterima negara sudah mencatatkan peningkatan.

Antara lain ia disokong dan diimbangi oleh aliran masuk pelaburan domestik yang kukuh.

“FDI memang menurun pada 2023, tetapi pelaburan keseluruhannya itu tertinggi kerana membabitkan peningkatan mendadak pelaburan domestik.

“Sebab itu, kita tidak bimbang terutama melihat kepada angka suku pertama 2024, yang mana pelaburan asing meningkat,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad semasa sesi pertanyaan menteri di Parlimen, pagi tadi.

Tambahnya, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) angka untuk 2024 lebih tinggi dari yang diunjurkan sebelumnya.

Sebelum ini, MITI dalam kenyataannya memaklumkan, Malaysia mencatatkan nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM83.7 bilion merentasi pelbagai sektor bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, mewakili peningkatan 13 peratus daripada RM74.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini