Oleh Faiz Aizat Azali
PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan dibawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.
Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.
Setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.
Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).
Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.
Ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya ahli telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka. Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran pra-persaraan lain daripada KWSP.
Bermula 5 April 2023, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti ini.
Ahli juga perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi. Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.