comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Farm Fresh belanja RM83.9 juta perkukuh segmen F&B

Foto: Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee (tengah) bersama Azmi (kanan) dan Lim (kiri) pada cawangan Jom Cha IOI City Mall Putrajaya

Oleh: Juliana Pija Ismail

PUTRAJAYA: Syarikat tenusu Farm Fresh Bhd membelanjakan RM83.9 juta untuk membeli rangkaian aiskrim The Inside Scoop Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada pembangunannya dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Pengeluar produk tenusu itu juga sedang merangka kerjasama khas melibatkan perniagaan kiosk minumannya Jom Cha dengan Inside Scoop.

Syarikat itu juga sedang mempertimbangkan pelan pengembangan keseluruhan untuk Farm Fresh dan Jom Cha untuk menjadi pemain yang lebih menonjol dalam industri F&B.

Farm Fresh merancang untuk memperoleh 65% saham dalam rantaian aiskrim tempatan Inside Scoop pada harga RM83.9 juta yang akan dibayar melalui gabungan tunai dan saham baharu yang diterbitkan.

Farm Fresh terlebih dahulu akan memperoleh 53% daripada pemegang saham sedia ada Inside Scoop dengan harga RM68.4 juta, tertakluk kepada pelarasan.

Syarikat itu kemudiannya akan memperoleh 12% lagi dengan jumlah pertimbangan langganan sebanyak RM15.5 juta, berdasarkan terma dan syarat perjanjian.

Dalam perkembangan lain, Farm Fresh menyasarkan untuk membuka 300 cawangan baharu di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ke arah itu, 100 cawangan baharu akan dibuka menjelang akhir tahun ini dengan sasaran jualan sebanyak RM10 juta bakal dijana menerusi pengembangan kiosk Jom Cha.

Ketika ini, 25 cawangan Jom Cha telah mula beroperasi di seluruh negara dan dijangka meningkat selaras dengan perkembangan positif pasaran susu segar malaysia.

Loading...
Terkini