comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Faktor luaran punca harga sawit jatuh mendadak bulan lalu

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Faktor luaran adalah punca harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) jatuh 19 peratus ke tahap terendah dalam tempoh tiga minggu RM3,512 satu tan pada 24 Mac lalu sebelum pulih sedikit kepada paras semasa iaitu RM3,794 satu tan, demikian menurut RHB Investment Bank Bhd.

“Kami percaya penurunan ini terutamanya disebabkan oleh faktor-faktor luaran iaitu krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS), nilai mata wang dolar AS yang lemah, dan kelemahan harga komoditi dunia termasuk minyak mentah, minyak kacang soya and minyak biji sesawi,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.

RHB Investment Bank berkata, harga minyak mentah merosot 13 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu, manakala harga minyak kacang soya dan minyak biji sesawi masing-masing jatuh 12 peratus dan 14 peratus.

“Walaupun masih ada kegusaran mengenai kemelesetan ekonomi dunia, kerajaan AS sedang meyakinkan orang awam bahawa ia sedang mengambil langkah-langkah untuk berlindung daripada berlakunya krisis perbankan lanjut,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, meskipun risiko positif telah menyederhana, masih terdapat faktor-faktorsokongan yang dapat mengekalkan harga MSM pada tahap stabil.

Ia berkata, faktor sokongan terbabit termasuklah ketidaktentuan cuaca kerana adanya risiko El Nino akan kembali pada suku ketiga dan suku keempat tahun ini.

Di samping itu, katanya terdapat faktor ketersediaan baja dari Russia dan kesan kekurangan bajapada tanaman di Malaysia akibat kekurangan buruh.

“Pembukaan semula sempadan China dan kenaikan dalam mandat biodiesel, memandangkan Indonesia sudah beralih kepada B35, serta berhasrat untuk menaikkan kepada B40 pada 2024,” katanya.

RHB Investment Bank berkata, di sebalik faktor yang menyokong kestabilan harga MSM, terdapat juga beberapa isu menyelubungi komoditi itu antaranya perbezaan minyak sawit dan minyak gas (POGO) masih negatif, menyebabkan ketiadaan permintaan bagi biodiesel pilihan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini