Tumpuan :
Detik Niaga

EUDR perlu melibatkan pekebun kecil sawit dalam keputusannya: CPOPC

 

KUALA LUMPUR: 12 April (Bernama) — Negara pengeluar minyak kelapa sawit menekankan bahawa Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) perlu memastikan keterangkuman pekebun kecil apabila ia dilaksanakan.

Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berkata walaupun peraturan baharu itu mencerminkan langkah terpenting EU dalam komitmen ke arah menyumbang kepada pengurangan penebangan hutan global, ia telah mewujudkan potensi risiko peminggiran pekebun kecil daripada rantaian bekalan.

“Penggubal undang-undang bersama EU, Suruhanjaya Eropah, Parlimen Eropah serta negara anggota perlu mewujudkan pendekatan bagi memastikan keterangkuman pekebun kecil untuk meminimumkan risiko pengecualian daripada pasaran EU.

“Ini selaras dengan semangat Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) iaitu ’jangan tinggalkan sesiapa pun di belakang’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CPOPC berkata penting untuk membina perkongsian yang kukuh serta berstruktur antara EU dan negara-negara pengeluar minyak sawit bagi mewujudkan persekitaran yang membolehkan pematuhan terhadap EUDR dalam mengiktiraf usaha yang diambil untuk memastikan pengeluaran minyak sawit yang mampan di negara-negara pengeluar.

“Negara-negara pengeluar minyak sawit menghormati rasional EU untuk mengurangkan penebangan hutan dan kemerosotan hutan.

“Justeru, kami meminta EU untuk turut mengiktiraf usaha yang diambil oleh negara pengeluar minyak sawit bagi biodiversiti dan pemuliharaan hutan, selain langkahnya dalam meningkatkan pembangunan mampan industri sawit,” kata CPOPC.

EU sewajarnya mengiktiraf Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai skim pensijilan penting yang mematuhi keperluan kesahihan negara pengeluar.

Negara-negara pengeluar mengalu-alukan kerjasama dengan EU untuk menjalankan penilaian terhadap cabaran serta potensi kesan EUDR terhadap pekebun kecil kelapa sawit bagi membangunkan langkah-langkah praktikal dan tindakan mitigasi untuk menjamin penyertaan pekebun kecil.

Pengenalan sistem serta mekanisme dalam mendapatkan minyak sawit mampan yang diperakui daripada pekebun kecil merupakan salah satu elemen utama untuk meminimumkan risiko.

Pekebun kecil kelapa sawit menyumbang kira-kira 41 peratus serta 27 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit, di Indonesia dan Malaysia.

Pekebun kecil menyumbang 35 peratus hingga 40 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global.

“EU boleh mempertimbangkan instrumen inovatif untuk menyokong dan meningkatkan pembangunan mampan pekebun kecil kelapa sawit.

“Ini termasuk, antara lain, pembinaan kapasiti, penyelesaian untuk memastikan kebolehkesanan rantaian bekalan tanpa menjejaskan undang-undang perlindungan data peribadi termasuk pembangunan mekanisme inovatif bagi sokongan teknikal dan kewangan untuk memastikan peningkatan berterusan pekebun kecil sawit,” katanya.

Sementara itu, CPOPC dengan kerjasama pertubuhan komuniti sivil antarabangsa Solidaridad dan MVO, yang mewakili Industri Minyak dan Lelemak Belanda telah menerbitkan kertas taklimat dengan cadangan serta penyelesaian yang mungkin untuk memastikan keterangkuman pekebun kecil kelapa sawit dalam rantaian bekalan bagi pasaran EU di bawah EUDR.

Kertas taklimat itu telah diedarkan kepada penggubal dasar EU sebagai sebahagian daripada usaha CPOPC untuk meningkatkan kebajikan pekebun kecil kelapa sawit.

Ia menyatakan bahawa Perkara 28 EUDR menyediakan mekanisme perkongsian dan kerjasama untuk memudahkan pematuhan terhadap keperluan EUDR.

“CPOPC bersedia mengadakan dialog dengan EU mengenai tindakan serta langkah untuk melindungi kepentingan pekebun kecil kelapa sawit dalam membekalkan kepada pasaran EU,” katanya.

Pada 6 Dis 2022, EU mencapai persetujuan mengenai undang-undang baharu bagi menghalang syarikat daripada menjual komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan dan kemerosotan hutan ke pasaran EU atau mengeksportnya dari EU. — BERNAMA

Loading...
Terkini