Tumpuan :
Detik Niaga

ETC 2023 sokong matlamat rendah karbon, peralihan tenaga 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Baharin Din

KUALA LUMPUR: Persidangan Peralihan Tenaga (ETC) 2023 selama dua hari, bermula 28 Ogos, dijangka menawarkan pandangan yang boleh direalisasikan mengenai pendigitalan, teknologi, keupayaan dan dasar yang diperlukan untuk peralihan tenaga di rantau ini selain menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi negara rendah karbon menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Baharin Din berkata persidangan itu akan menggalakkan dialog dan kerjasama dalam pelbagai sektor seperti tenaga, pengangkutan, industri dan pertanian untuk menerapkan pendekatan bersepadu dan menyeluruh terhadap amalan mampan.

Dianjurkan oleh TNB, persidangan bertemakan ‘Accelerating a Responsible Energy Transition’ itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dihadiri oleh lebih 1,500 delegasi, 60 penceramah dan 30 peserta pameran.

Mencatatkan satu pencapaian, ETC 2023 akan mencipta sejarah sebagai persidangan pertama di Malaysia yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga hijau di bawah Pensijilan Tenaga Boleh Diperbaharui (REC)

Baharin berkata TNB giat menggalakkan kemampanan, termasuk mempromosikan program Tarif Elektrik Hijau (GET).

Justeru, Baharin berkata TNB telah memilih empat bidang untuk dibincangkan pada persidangan itu iaitu masa depan tenaga; bandar mampan; mobiliti hijau (pengangkutan) dan pendigitalan, yang menjadi tulang belakang untuk pelaksanaan ET yang bertanggungjawab.

“Komitmen besar kami sebanyak RM15 bilion untuk menjana semula loji janakuasa gas kami di Kapar, Selangor dan Paka, Terengganu dengan teknologi hidrogen menggariskan komitmen kami terhadap inovasi terkini,” katanya.

Sebagai bukti kepada komitmennya, Baharin berkata TNB melabur sebanyak RM10 bilion dalam pembangunan projek kuasa hidro dan tambahan RM2 bilion dalam inisiatif solar terapung.

Bagi mempercepatkan ET, Baharin berkata sistem penyimpanan tenaga komuniti penting untuk membolehkan lebih banyak penembusan dan kestabilan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam rangkaian, menggerakkan lebih banyak stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) untuk menampung kadar penggunaan yang lebih tinggi dan mengkaji semula garis panduan dan dasar yang berkaitan supaya lebih keterlihatan dan menambah baik isu-isu teknikal mengenai pemasangan RE.

ETC 2023 dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. — BERNAMA

Loading...
Terkini