KUALA LUMPUR: Enam firma Malaysia disenaraikan dalam 100 Syarikat Asia Untuk Diperhatikan Forbes 2023, menampilkan syarikat kecil dan pemula yang memberikan tumpuan terhadap pasaran kurang diberikan perhatian atau menggunakan teknologi baharu.
Syarikat Malaysia yang ditampilkan dalam senarai tahun ini adalah Aerodyne, BoomGrow, Care Concierge, Involve Asia, Lapasar dan PolicyStreet.
Aerodyne ialah penyedia perkhidmatan dron yang mengendalikan lebih daripada 458,000 operasi penerbangan di 45 negara dan menjana sebanyak AS$68 juta (RM316.3 juta).
BoomGrow pula syarikat pertanian yang mengubah kontena menjadi ladang, dengan hasil tanaman dijual ke gedung-gedung runcit dan restoran.Ia diasaskan pada 2013 dan disokong pemodal seperti Big Sky Capital, MDEC, PlaTCOM Ventures dan SME Corp.
Care Concierge menawarkan kemudahan bantuan daya hidup dan perkhidmatan penjagaan untuk golongan warga emas.
Sementara itu, Involve Asia adalah penghubung jenama dengan pempengaruh mikro, iaitu pempengaruh yang mempunyai kurang daripada 100,000 pengikut di media sosial bagi tujuan pemasaran atau program pemasaran.
Lapasar yang bermula sebagai laman web pemborong bagi peralatan pembersihan, peralatan teknologi maklumat (IT) dan barangan pejabat, kini berkembang kepada pengeluara barangan pengguna cepat laris semasa pandemik.
Melengkapi senarai syarikat Malaysia ialah PolicyStreet, yang menyediakan penyelesaian insurans digital kepada perniagaan dan pengguna.
Secara keseluruhan, senarai 100 Syarikat Asia Untuk Diperhatikan Forbes 2023 termasuk inovasi mesra alam seperti pembangunan protein alternatif berasaskan serangga dan pendigitalan pengeluaran susu untuk meningkatkan hasil.