Tumpuan :
Detik Niaga

Empat Inisiatif Digital, Permudah Akses Pembiayaan PMKS

Oleh Suzila Idayu Yaacob 

PETALING JAYA: Empat inisiatif diperkenalkan bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC) mendapat akses pembiayaan lebih baik.

Inisiatif Suruhanjaya Sekuriti Malaysai (SC) ini adalah bagi memperkukuh pasaran modal pengendali pasaran pendanaan awam ekuiti (ECF), pembiayaan rakan setara (P2P) dan pengendali aset digital.

Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata inisiatif baharu itu termasuk juga membuka pasaran pembiayaan alternatif kepada peserta baharu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Ada syarikat kecil tidak berupaya untuk mendapatkan pembiayaan. Namun dengan adanya pembiayaan yang lebih tersusun menerusi Suruhanjaya Sekuriti ini sekurang-kurangnya kami dapat membantu syarikat-syarikat kecil mengadaptasi teknologi bagi membolehkannya menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien kepada pelanggan,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelas beliau, SC akan membuka pendaftaran ECF dan P2P kepada pengendali pasaran baharu dengan penyelesaian syariah dan nilai bagi menampung pertumbuhan permintaan pembiayaan PMKS.

Inisiatif kedua membabitkan P2P baharu yang membolehkan syarikat mendapatkan pembiayaan berasaskan pembiayaan terus daripada pelabur.

Selain itu, pelaburan aset digital terkawal akan dipermudah dengan membolehkan pelabur melabur melalui cara yang dikawal selia.

Dalam pada itu, penubuhan dana inovasi digital (DIGID) berjumlah RM30 juta yang bertujuan menggalakkan pendigitalan pasaran modal, turut merangkumi pembiayaan bersama projek-projek inovatif yang menggunakan teknologi untuk membolehkan cadangan baharu dan kompetitif bagi pasaran modal Malaysia.

Loading...
Terkini