Oleh: Amanda Lopez
SELANGOR: Perdagangan dan pelaburan dua hala antara Singapura dan Malaysia bakal berkembang untuk meliputi eksport tenaga boleh diperbaharui.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, kedua-dua negara juga sedang giat bekerjasama dalam bidang ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber.
“Malaysia sedang membangunkan program tenaga boleh diperbaharui dan turut mengumumkan pembentukan grid integrasi nasional. Saya berpendapat ini bagi penjualan tenaga kepada beberapa negara di rantau ini. Terdapat kemungkinan Singapura berminat untuk membeli sumber tenaga diperbaharui dan Malaysia menjadi satu pilihan.”
“Ketika ini, kami sudah mempunyai tenaga diperbaharui yang diimport dari beberapa negara lain, jadi kenapa tidak Malaysia yang merupakan jiran terdekat kami? Justeru, terdapat banyak peluang bagi kedua-dua negara untuk mempertingkatkan hubungan ke peringkat seterusnya,” kata beliau kepada Buletin TV3.
Beliau ditemui selepas membuat lawatan rasmi ke Media Prima, pagi tadi.
Dilaporkan, Sarawak sedang berbincang dengan Singapura untuk membekalkan 1,000MW tenaga boleh diperbaharui menjelang 2032.
Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan muncul sebagai pelabur keempat terbesar, tahun lalu.