Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Prestasi eksport Malaysia dijangka berkembang lebih stabil sekitar empat hingga lima peratus tahun ini.
Menurut Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid prestasi ini akan dipacu eksport sektor utama seperti sektor elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, gas asli cecair (LNG) serta kelapa sawit.
“AS telah mengenakan tarif yang tinggi terhadap sarung tangan getah dari negara China iaitu sebanyak 50 peratus pada tahun 2025 dan 100 peratus bagi tahun 2026.
“Perkara itu sudah pasti akan memberi kelebihan kepada eksport sarung tangan getah negara yang lebih kompetitif dan berdaya saing berbanding negara China,” katanya kepada Buletin TV3.
Jelasnya, isu tarif terbabit akan membawa dua ekonomi besar global itu ke meja rundingan untuk mencapai satu kesepakatan yang lebih komprehensif dan penyelesaian menang-menang.
Susulan itu, katanya, perdagangan antarabangsa di peringkat global dijangka dilaksanakan dengan lebih lancar lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata Presiden AS, Donald Trump, yang dikenali sebagai figura perniagaan, dijangka mengambil langkah pragmatik, selain memanfaatkan hubungannya yang mesra dengan Presiden China, Xi Jinping.
Sebagai rekod, nilai perdagangan Malaysia meningkat 9.2 peratus kepada rekod tertinggi RM2.879 trilion pada 2024, melepasi paras RM2 trilion untuk empat tahun berturut-turut.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), eksport meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport 2025 yang ditetapkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.