Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport minyak, produk sawit catat RM99.3 bilion setakat November

Datuk Seri Johari pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2024, hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

BANGI: Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia meningkat RM12.5 bilion kepada RM99.3 bilion setakat November tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini disokong usaha kerajaan untuk mempertingkatkan eksport sawit ke pelbagai pasaran bagi memperkukuhkan perdagangan agrikomoditi negara.

“India kekal sebagai pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia dengan 2.9 juta tan atau 18.5 peratus, diikuti oleh China (1.3 juta tan), Kesatuan Eropah (1.2 juta tan), Kenya (1.1 juta tan), Turkiye (832,000 tan), Filipina (611,000 tan), dan Jepun (553,000 tan).

“Tujuh pasaran ini secara kolektif menyumbang 54.4 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia untuk tempoh 11 bulan pertama tahun 2024,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2024, hari ini.

Tambah Johari, Malaysia akan mengambil alih kepengerusian Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) tahun depan dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha bermula 1 Jun 2025 bagi tempoh tiga tahun.

Pada Mesyuarat Menteri CPOPC bulan lalu, Johari menekankan CPOPC harus memainkan peranan untuk menangkis persepsi negatif terhadap minyak sawit dengan berkongsi kebaikan yang ada pada produk sawit dari segi keterjaminan makanan serta kesihatan.

Malah, standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah diterbitkan dalam Peta Piawaian Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC).

Ini menandakan pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam agenda kemampanan, khususnya pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab.

Peta Piawaian ITC ialah sebuah pangkalan data kemampanan terbesar di dunia yang dibangunkan secara bersama oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini