Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport hampir semua negeri meningkat pada Januari

PUTRAJAYA: Peningkatan eksport Malaysia pada Januari 2024 dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM5.6 bilion), Selangor (RM3.3 bilion), Kedah (RM1.2 bilion), Sarawak (RM1.2 bilion), Perak (RM640.1 juta), Pahang (RM609.8 juta), Terengganu (RM308.1 juta), Kuala Lumpur (RM92.3 juta) dan Kelantan (RM82.8 juta), demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi eksport Malaysia pada Januari 2024 bernilai RM122.4 bilion, meningkat sebanyak RM9.8 bilion atau 8.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, katanya nilai eksport menurun di Pulau Pinang sebanyak RM2 bilion, Labuan (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM196.9 juta), Melaka (-RM188.5 juta), Negeri Sembilan (-RM130.7 juta) dan Perlis (-RM11.6 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 28.2 peratus, diikuti oleh Johor (22.4 peratus), Selangor (18 peratus), Sarawak (8.7 peratus) dan Kuala Lumpur (4.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Uzir berkata, beralih kepada prestasi import mengikut negeri, import pada bulan Januari 2024 meningkat RM17.8 bilion atau 18.8 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023.

Beliau berkata, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM7 bilion), Selangor (RM4.9 bilion), Kuala Lumpur (RM2.8 bilion), Pulau Pinang (RM1.1 bilion), Pahang (RM739.1 juta), Melaka (RM618.3 juta), Kedah (RM445.1 juta), Negeri Sembilan (RM167.5 juta), Terengganu (RM153.8 juta), Kelantan (RM28 juta), Sabah (RM22.5 juta) dan Perlis (RM6.7 juta).

Walau bagaimanapun, katanya nilai import jatuh di Sarawak sebanyak RM261.2 juta, Labuan (-RM51.4 juta) dan Perak (-RM19.1 juta).

“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.4 peratus, diikuti oleh Johor (23.7 peratus), Pulau Pinang (19.1 peratus), Kuala Lumpur (8.8 peratus) dan Kedah (5.6 peratus).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini