KUALA LUMPUR: Eksport barangan Malaysia dijangka pulih dan meningkat semula pada 2024 berikutan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dan keyakinan pengilang yang lebih baik, demikian menurut penganalisis.
MIDF Research dalam satu nota penyelidikan berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global meningkat kepada 47.9 pada November 2023 berbanding 46.8 pada Oktober 2023.
Katanya, ia adalah bacaan tertinggi dalam tujuh bulan, tetapi terus menandakan penguncupan dalam keseluruhan aktiviti sektor pembuatan untuk bulan ke-15 berturut-turut.
Jelasnya, peningkatan pada November 2023 disokong terutamanya oleh penguncupan yang lebih perlahan dari segi keluaran dan permintaan.
“Pesanan baharu jatuh pada kadar paling perlahan dalam tiga bulan, tetapi kejatuhan berterusan mencerminkan permintaan domestik dan global yang masih lemah.”Begitu juga, output mencatatkan penurunan pada kadar paling perlahan sejak Ogos 2023.
Pekerjaan meneruskan penguncupan ke bulan ketujuh tetapi stabil memandangkan kadar penurunan yang lebih perlahan.
“Inflasi kos input mencecah paras tinggi setahun berikutan harga bahan mentah yang lebih tinggi dan di tengah-tengah ringgit yang lemah,” katanya.Sementara itu, MIDF Research berkata, harga output kekal inflasi selama empat bulan berturut-turut, tetapi kenaikannya adalah tidak ketara.
Mengenai tanda-tanda peningkatan dalam sektor itu, ia berkata, keyakinan pengilang melonjak ke paras tertinggi sejak April 2023.