comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekspo Afrika 2022 sasar urus niaga AS$50 juta

Hema dalam satu temubual sempena Ekspo Afrika 2022 – Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pameran dagangan perniagaan kepada-perniagaan (B2B), Ekspo Afrika 2022 (AE2022) yang julung kali diadakan khusus bagi pemilik dan profesional perniagaan benua itu mengetengahkan produk di Malaysia serta menjadi pintu masuk ke pasaran Asia, dijangka menjana transaksi niaga bernilai AS$50 juta.

Sebanyak 150 reruai akan diketengahkan dalam acara tiga hari bermula 9 November 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Penganjur AE2022, Hema Kandy berkata, Afrika adalah antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia, namun akses terhad hubungan perniagaan, rakan kongsi B2B serta pasaran yang berkualiti, menjadi kekangan untuk menembusi pasaran Asia Pasifik.”Sehubungan itu, AE2022 berhasrat merapatkan jurang berkenaan dengan menghubungkan penggiat industri Afrika dengan pihak berkepentingan utama di Malaysia,” katanya ketika ditemui di My Events International di Selangor.

AE2022 dianjurkan bagi menggalakkan perdagangan antara Afrika dan Malaysia sebagai gerbang memasuki pasaran Asia.”Malaysia sememangnya satu platform ideal untuk menembusi pasaran Asia Pasifik berikutan lokasinya yang strategik, kemudahan menjalankan perniagaan, infrastruktur yang baik, kemudahan teknologi gentian fiber yang mantap serta pekerja yang mahir,” katanya.

Selain itu, pelbagai program turut diadakan bersempena AE2022 seperti persidangan, sesi padanan perniagaan, sidang kemuncak dan perbincangan meja bulat selain anugerah kepimpinan perniagaan yang merentasi industri berkaitan.

Anugerah terbabit bagi mengiktiraf pemimpin perniagaan yang terbukti memaparkan inovasi, keuntungan dan kecemerlangan perniagaan selain menjadi contoh bagi inspirasi untuk kalangan generasi usahawan akan datang.

AE2022 yang percuma serta terbuka kepada orang ramai dan profesional perniagaan, dijangka menarik lebih daripada 10,000 pengunjung perdagangan dari Malaysia serta global.

Acara itu akan dirasmikan oleh Gabenor Kerajaan Mukim Bomet Kenya, Profesor Hillary Kipngeno Barchok.Segmen yang akan ditampilkan pada acara itu adalah pertanian, perbankan dan kewangan, perkhidmatan perniagaan, kimia dan bioteknologi, pembinaan, kosmetik, dron dan robot serta pendidikan dan latihan.

Tidak ketinggalan, sektor fesyen, tekstil dan kasut, makanan dan minuman, batu permata dan perlombongan, perkhidmatan halal, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, infrastruktur, gaya hidup, jentera dan automotif, farmaseutikal, teknologi, pelancongan dan hospitaliti.Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di www.africa-xpo.com-BERNAMA

Loading...
Terkini