comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan – Gabenor BNM

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan bertunjangkan aktiviti berorientasikan domestik dan akan terus disokong oleh keadaan pasaran buruh dan pelaburan menjelang tahun depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata keadaan pasaran buruh, terutamanya pekerjaan dan gaji, terus bertambah baik, yang menyokong keupayaan isi rumah untuk berbelanja.

“Sementara itu, pelaburan oleh sektor swasta dan awam berkekalan untuk masa akan datang, dan faktor ini akan terus menyokong ekonomi pada 2024,” kata beliau ketika berucap di Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13 hari ini.

Di samping itu katanya, ekonomi juga akan mendapat manfaat daripada kitaran teknologi yang pulih secara beransur-ansur dan pemulihan dalam permintaan luar.

Abdul Rasheed berkata Malaysia, bernasib baik kerana tidak menghadapi cabaran inflasi yang teruk seperti ekonomi-ekonomi lain dan inflasi teras terus menyusut kepada 2.5 peratus pada Ogos tahun ini, sejajar dengan harga komoditi global yang lebih rendah dan keadaan penawaran dan permintaan yang bertambah baik.

“Kami menjangkakan inflasi akan terus menurun sejajar dengan momentum kenaikan harga yang perlahan. Kami akan terus memantau potensi risiko terhadap prospek itu, yang berlaku terutamanya perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi bahan api,” katanya.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Abdul Rasheed berkata ia berada pada tahap prapandemik iaitu 3.0 peratus dan dasar monetari kekal menyokong ekonomi.

“Melangkaui jangka masa terdekat, kita harus mensasarkan ke arah mengekalkan pertumbuhan jangka panjang, sambil meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia. Pembaharuan struktur memainkan peranan kritikal dalam mencapai matlamat ini dan kerajaan baru-baru ini telah melaksanakannya, dengan mengeluarkan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini