KUALA LUMPUR: Momentum pemulihan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) lebih tinggi melebihi 12 peratus pada suku ketiga 2022, demikian menurut penganalisis tempatan.
Jangkaan pertumbuhan itu adalah lebih baik berbanding suku kedua 2022 yang mencatatkan pertumbuhan 8.9 peratus, malah jauh lebih kukuh berbanding 5.0 peratus yang dicatat pada suku pertama 2022.
Perkembangan memberangsangkan itu dijangka disokong pembukaan semula ekonomi sepenuhnya dan sempadan antarabangsa, yang mendorong pertumbuhan penggunaan swasta.
Ia juga berikutan pemulihan pasaran buruh yang berterusan dan peningkatan permintaan dalam dan luar negara, terutama melalui sektor perkhidmatan dan pembuatan.
TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, aktiviti ekonomi Malaysia kekal kukuh, dipacu oleh pemulihan dalam pasaran pekerjaan dan prestasi luaran yang utuh serta impak asas rendah pada suku ketiga 2021 yang merosot 4.5 peratus.
Firma pembrokeran pasaran itu berkata, setakat ini, set perangkaan suku ketiga yang diterbitkan iaitu prestasi perdagangan dan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), yang menunjukkan KDNK suku ketiga 2022 yang kukuh.
“Kami mengekalkan jangkaan pertumbuhan sebanyak 10.5 peratus pada suku ketiga 2022 dan 6.7 peratus bagi keseluruhan tahun ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Moody’s Analytics pula mengunjurkan ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2022 dijangka berkembang kukuh pada 12.8 peratus berbanding 8.9 peratus pada suku kedua 2022.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan/Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass juga menjangkakan prestasi ekonomi negara pada suku itu dijangka lebih baik berbanding suku kedua 2022.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan KDNK berlegar antara sembilan peratus hingga 10 peratus disokong oleh aktiviti eksport dan domestik yang kukuh.
MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, disokong oleh pasaran pekerjaan dan prospek pendapatan yang lebih baik, permintaan domestik yang teguh terus memacu aktiviti ekonomi tempatan pada suku ketiga tahun ini.
Ia berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak April 2022 telah menggalakkan ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
Katanya, petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan positif yang mampan dengan pengembangan permintaan dalam negeri dan prestasi perdagangan luar yang utuh.
“Namun begitu, kami kekal berhati-hati terhadap kemungkinan prospek global yang lebih lemah yang mungkin dipengaruhi oleh pengetatan dasar monetari oleh bank pusat, kesan buruk daripada peningkatan inflasi, dan faktor seperti geo-politik dan isu buruh yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan.
“Justeru, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini pada 6.6 peratus,” katanya.-Berita Harian