comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia diunjur perlahan tanpa langkah rangsangan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang perlahan kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun ini, lebih rendah daripada anggaran 5.1 peratus pada suku pertama, demikian menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu itu dalam satu nota penyelidikan berkata, unjuran itu adalah berikutan kesan asas yang rendah dan selain ekonomi telah kembali normal dengan ketiadaan langkah rangsangan.

Katanya, ia juga mengambil kira kesan kelembapan ekonomi global di tengah-tengah pengetatan lagi dasar monetari global untuk memerangi tekanan inflasi yang meningkat.

“Sehubungan itu berdasarkan ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2023 sebanyak 4.7 peratus, berbanding unjuran oleh kerajaan dan konsensus masing-masing pada 4.5 peratus dan 4.0 peratus.

“Namun begitu, kami percaya risiko penurunan kepada pertumbuhan, dari segi domestik, akan terhad disebabkan oleh risiko politik yang lebih rendah dan jangkaan peningkatan dalam pelaburan.

“Ini juga disebabkan oleh hala tuju dasar yang jelas oleh Kerajaan Perpaduan bersama dengan Belanjawan 2023 yang disemak semula, yang menyaksikan kerajaan terus cenderung ke arah dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan,” katanya.

Menurut Kenanga Investment Bank, pertumbuhan ekonomi juga akan disokong oleh permintaan domestik yang teguh, di tengah-tengah perbelanjaan swasta yang mampan berikutan kadar pengangguran yang lebih rendah yang dijangka purata pada 3.5 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2022.

Selian itu, katanya pertumbuhan akan diperkukuh oleh langkah-langkah dasar yang menyokong, termasuk penerusan subsidi dan program pemindahan tunai untuk kumpulan B40. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini