Oleh: Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4.8 peratus pada tahun ini, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar.
Menurut Ketua Pakar Ekonomi Asia HSBC, Frederic Neumann, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka dipacu oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi, selain pemulihan permintaan domestik.
“Dari perspektif ekonomi, kami tetap sangat positif terhadap pertumbuhan Malaysia dan menjangkakan ia akan melepasi unjuran awal.
“Ini kerana Malaysia terus menerima aliran pelaburan langsung asing yang kukuh, yang menyumbang kepada pembentukan modal,” kata Neumann dalam sesi taklimat media secara dalam talian hari ini.
Namun, beliau turut memberi amaran bahawa pertumbuhan eksport Malaysia mungkin sedikit terjejas berikutan penurunan permintaan dalam sektor elektrik dan elektronik dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Walaupun begitu, Neumann menyatakan bahawa perkembangan itu tidak dijangka memberi impak ketara terhadap pasaran eksport Malaysia pada tahun ini.
Ia disebabkan oleh pemindahan rantaian bekalan, pusat data dan syarikat teknologi semikonduktor, terutamanya yang beroperasi di Pulau Pinang.
Sementara itu, penanda aras utama Bursa Malaysia, FBM KLCI, dijangka akan mengukuh ke paras 1,850 mata menjelang akhir tahun.
Namun, ringgit diunjur akan mengakhiri tahun ini pada kadar 4.6 berbanding dolar Amerika.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.