comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia berkembang kukuh 5.9%, suku kedua 2024

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh 5.9 peratus, melepasi jangkaan awal. Ini selepas merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

 

Pengembangan ekonomi pada suku tahun ini didorong peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran tenaga kerja yang kukuh.

“Pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9% pada suku tahun kedua tahun ini didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. Tambahan pula, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar terus mendorong pertumbuhan ekonomi dari segi permintaan.” jelas Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Kata beliau peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (Fasa 2) pada April 2024 serta pengeluaran Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Indeks Pengeluaran Perindustrian juga telah mengekalkan trend positif selama enam bulan berturut-turut dan terdapat pertumbuhan ketara dalam perdagangan luar pada suku kedua tahun 2024.

Selain itu, kata beliau, faktor seperti kemasukan pelancong yang ketara, peningkatan pelaburan modal tetap, kemajuan projek berskala besar dan permintaan yang semakin meningkat bagi pusat data telah memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

Sementara itu, negara turut mencatat pertumbuhan ekonomi pada 5.1% bagi separuh tahun pertama 2024.

Menurut Datuk Seri Uzir, angka itu melebihi unjuran kerajaan dengan pertumbuhan sebanyak 4% hingga 5% bagi tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini