Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia berkembang 5.1% pada 2024

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR:Ekonomi Malaysia berkembang dari 3.6% pada 2023 ke 5.1% tahun lalu.

Pertumbuhan ekonomi turut mencatat peningkatan 5% bagi suku ke-4 tahun lalu.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata prestasi kukuh ini disebabkan oleh permintaan domestik yang terus berkembang dan pemulihan dalam eksport.

“Pertumbuhan didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang
lebih mantap, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan,
langkah-langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan
isi rumah yang kukuh” kata BNM dalam satu kenyataan.

Selain itu, kelulusan pelaburan yang kukuh serta projek mega yang terus dilaksanakan termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional memberikan dorongan kepada pertumbuhan pelaburan.

Antaranya, Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional.

“Dari segi faktor luaran, eksport pulih berikutan pertumbuhan global yang stabil, peningkatan kitaran teknologi yang berterusan serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.” kata BNM.

Keadaan ini memberikan sokongan pada akaun semasa, yang terus
menghasilkan lebihan dari 1.5% pada tahun 2023 ke 1.7% daripada KDNK pada tahun 2024.

Bagi tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun kepada 1.8% berbanding masing-masing 2.5% dan 3.0% tahun sebelumnya.

Ringgit pula mencatatkan penambahan nilai keseluruhan sebanyak 2.7% berbanding dolar AS pada tahun 2024 .

“Ringgit juga merupakan satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai berbanding dolar AS pada tahun 2024 selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai” kata BNM.

Bagi tahun ini pula, perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran akan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour
berkata, “Pada masa hadapan, meskipun persekitaran global yang mencabar,
pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan yang
mantap dalam aktiviti pelaburan, perbelanjaan isi rumah yang berterusan dan
pengembangan dalam eksport, dengan sokongan asas ekonomi Malaysia yang
teguh.”

Inflasi tahun ini juga dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini