Oleh:Amanda Lopez
PUTRAJAYA: Bajet 2023 akan memberi tumpuan kepada bidang baharu termasuk ekonomi hijau, digital serta perusahaan kecil sederhana (PKS) yang selama ini dipinggirkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ekonomi negara sedang merudum, semua pihak tidak seharusnya merenung nasib dan berada dalam kelesuan, sebaliknya mencari jalan untuk menghadapinya.
“Ekonomi hijau satu, digital kedua , kita masih belum ada data centre umpamanya bidang-bidang yang boleh kita terokai. Pendekatan kita selama ini tidak memberi tumpuan kepada SMEs yang menjadi sebenarnya tunjang , tonggak ekonomi negara kita . Jadi pada tahun ini dalam belanjawan ini adalah anjakan yang kita akan lakukan penumpuan terhadap isu perkhidmatan terutamanya teknologi digital yang kita sedikit ketinggalan.” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Dialog Belanjawan 2023, di Kementerian Kewangan, Putrajaya pagi tadi.
Bajet 2023 akan dibentangkan pada 24 Februari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perdana Menteri turut menjelaskan ketiga-tiga sektor ekonomi berkenaan akan menjadi kritikal, terutamanya berikutan kelembapan ekonomi global semasa yang berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk perang Russia-Ukraine dan pasca pandemik COVID-19.