Tumpuan :
Detik Niaga

Edelteq mula disenaraikan di Pasaran Ace, dibuka pada 75 sen

– Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi Edelteq Holdings Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia hari ini, dibuka pada 75 sen, naik 51 sen atau 212.5 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu sebanyak 24 sen.

Semasa sesi tersebut, penyedia sokongan kejuruteraan untuk pemasangan litar bersepadu dan proses ujian itu menyaksikan 9.01 juta sahamnya diniagakan.

Edelteq ialah penyenaraian Pasaran Ace ke-10 tahun ini, dan IPO syarikat itu melibatkan terbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu dengan menyasarkan untuk memperoleh hasil sebanyak RM24 juta.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Chin Yong Keong berkata IPO itu menerima sambutan yang menggalakkan dengan kadar lebihan langganan sebanyak 152 kali, yang mencerminkan keyakinan dan sokongan yang amat menggalakkan daripada pelabur.

“Dengan dana yang diperoleh melalui IPO ini, kami berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan rancangan pengembangan kami dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam industri.

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus menumpukan pada penyelidikan dan pembangunan, kerjasama dan pelaburan dalam teknologi termaju untuk memberikan penyelesaian yang inovatif, mampan dan kos efektif,” katanya dalam ucapannya pada majlis penyenaraian tersebut hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata dengan penyenaraian Edelteq, Bursa Malaysia meraikan IPO ke-16 bagi tahun itu.

“Ini mewakili peningkatan sebanyak 60 peratus daripada tempoh yang sama (separuh pertama) tahun lepas dan kami berharap momentum penyenaraian IPO 2023 yang rancak ini akan berterusan hingga ke akhir tahun ini,” katanya.

Daripada jumlah hasil IPO sebanyak RM24 juta, Edelteq memperuntukkan RM3.7 juta (15.3 peratus) untuk pembinaan kilang yang dicadangkan di Batu Kawan, Pulau Pinang, dan RM3.4 juta (14.1 peratus) sebagai modal kerja manakala RM3 .1 juta (12.9 peratus) akan digunakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

RM10.3 juta lagi (42.7 peratus) telah diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, dan baki RM3.6 juta (15 peratus) adalah untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Berkenaan dasar dividen, Edelteq telah menetapkan sasaran untuk mengagihkan sehingga 20 peratus daripada keuntungan tahunan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham kumpulan.

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut. – BERNAMA

Loading...
Terkini