Oleh Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Pengeluar produk perabot sedia untuk dipasang, Ecomate Holdings Bhd (Ecomate) memulakan penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini, setelah selesai pemindahan daripada Pasaran ACE.
Pengarah Urusan Ecomate, Jason Koh berkata pemindahan ini berjaya dilaksana dalam waktu yang singkat, sejak disenarai di Pasaran ACE pada 8 November 2021.
“Penyenaraian dan sebut harga untuk keseluruhan modal saham terbitan Ecomate berjumlah 358,025,834 saham biasa telah dipindahkan dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama berkuat kuasa hari ini, menandakan selesainya pemindahan,” kata beliau kepada media selepas menyaksikan pembukaan saham pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Ecomate turut merancang untuk memulakan pembinaan kilang baharu di Muar, Johor pada suku ke-empat tahun ini.
“Kami tidak mempunyai masalah buruh kerana 85% dari kilang kami sejak kami memulakan Ecomate pada 2016, dengan Encik Koh (Pengarah Eksekutif, Ecomate) kami sentiasa fokus melabur lebih banyak mesin berbanding mengupah pekerja kerana mereka sukar untuk dikawal,” jelas beliau.
Menerusi kilang baharu ini, syarikat menjangka jumlah pengeluaran terpasangnya meningkat sebanyak 50 peratus kepada 712,800 unit setahun menjelang akhir 2024.
Sekitar 45 peratus pengeluarannya untuk domestik, manakala selebihnya dieksport terutama ke Arab Saudi dan Australia.
Pada penutupan 5 petang, ECOMATE susut 6.67 peratus kepada 70 sen sesaham.