Tumpuan :
Detik Niaga

Laporan SC: ECF, P2P kumpul 7,218 PKMS dengan dana RM4.4 bilion – SC

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran pembiayaan platform pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) telah mengumpul lebih 7,218 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengumpul lebih RM4.4 bilion, sejak penubuhannya, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menerusi Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan pada Isnin, SC menjelaskan walaupun terdapat pengurangan sebanyak 36 peratus dalam keseluruhan pengumpulan dana melalui ECF pada 2022 kepada RM140.4 juta berbanding RM220.7 juta pada 2021 namun saiz kempen lebih besar, dengan 21 peratus kempen meningkat melebihi RM3 juta masing-masing.

SC memaklumkan pembiayaan P2P kekal meningkat pada 2022 dengan keseluruhan pembiayaan berjumlah RM1.6 bilion, merekodkan peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding pada 2021 dengan RM1.1 bilion, yang telah memanfaatkan 3,732 syarikat.

“Untuk menggalakkan lagi pasaran ECF dan pembiayaan P2P, beberapa inisiatif telah berjaya dilaksanakan untuk memenuhi keperluan rangkaian perniagaan yang lebih luas dan merangsangkan pertumbuhan pasaran yang lebih tinggi,” tambahnya.

Antaranya meluaskan akses kepada pembiayaan patuh syariah dalam ECF dan pembiayaan P2P; memangkinkan pertumbuhan dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan, SCxSC GROW; serta membantu PMKS kembali bangkit dalam pemulihan ekonomi melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF).

ECF dan pembiayaan P2P terus meluaskan akses kepada pembiayaan untuk PMKS, dengan tawaran patuh syariah pada platform ini juga telah mendapat tarikan, dengan sejumlah RM368.13 juta dana yang dikumpulkan setakat 31 Disember, 2022, jelasnya.

“Untuk memanfaatkan lagi potensi platform pembiayaan ECF dan P2P, SC membuka permohonan untuk pendaftaran pengendali ECF dan pembiayaan P2P baharu dengan penyelesaian dan cadangan nilai syariah pada 2022.

“Langkah itu dijangka memangkinkan inovasi dalam penawaran syariah untuk memudahkan lagi akses untuk membiayai keperluan PMKS melalui platform digital penjanaan dana alternatif dan menggalakkan pemulihan yang lebih besar,” tambahnya.

Pada Oktober 2022, SCxSC GROW, satu program kerjasama baharu, telah dilancarkan di bawah inisiatif utama teknologi kewangan (fintech) SC, Synergistic Collaboration by the SC (SCxSC).

SCxSC GROW merangkumi usaha kolaboratif dengan rakan kongsi ekosistem untuk memanfaatkan potensi platform digital pengumpulan dana alternatif untuk memenuhi keperluan peserta yang kurang mendapat perkhidmatan dalam sektor strategik.

Edisi pertama inisiatif SCxSC GROW memfokuskan kepada pertanian, sektor yang kekal menjadi keutamaan dalam pertumbuhan Malaysia dan anatara sektor penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

Pelancaran pertama SCxSC GROW disokong oleh kementerian, agensi dan penggiat utama yang berkaitan dalam ekosistem pertanian dalam bengkel sehari bertemakan ‘Unlocking Alternatif Financing Potential for Agriculture’.

“Bengkel ini meneroka potensi peranan saluran pembiayaan alternatif yang boleh menyumbang ke arah menangani beberapa jurang kewangan yang wujud dalam sektor pertanian.

“Ia juga telah mewujudkan kesedaran yang lebih besar mengenai ECF dan pembiayaan P2P serta menggalakkan penyelarasan ekosistem yang lebih baik untuk menggerakkan sektor pertanian ke hadapan dan mengukuhkan jaminan makanan negara,” tambah SC.

Menurut SC, MyCIF, inisiatif yang ditubuhkan kerajaan untuk melabur bersama dalam PMKS dan perusahaan sosial bersama pelabur swasta melalui platform ECF dan pembiayaan P2P.

Pada 31 Disember, 2022 MyCIF telah berjaya melabur bersama lebih RM638 juta dalam lebih 35,000 ECF dan kempen pembiayaan P2P sekali gus memberi manfaat kepada 3,635 PMKS, jelasnya.

“Dana itu telah melabur bersama lebih RM2.56 bilion daripada pelabur swasta.

“Pada 2022, MyCIF memberi tumpuan kepada sektor pertanian, iaitu industri yang dikenal pasti mempunyai kepentingan strategik kepada pemulihan ekonomi empatan,” jelas SC.

Sementara itu, pasaran swasta Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil dengan jumlah dana komited bagi firma modal teroka dan ekuiti persendirian berdaftar berjumlah lebih daripada RM16.08 bilion pada akhir 2022.

“Memandangkan kepentingannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, usaha diperlukan untuk membina landskap yang lebih memudahkan bagi pelaburan pasaran persendirian.

“Dengan beberapa pelan induk dan inisiatif yang diperkenalkan oleh pelbagai agensi, menyelaraskan usaha ini melalui kerjasama adalah penting,” menurut SC. – BERNAMA

Loading...
Terkini