Tumpuan :
Detik Niaga

ECER terima komitmen pelaburan RM10 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerima pelaburan komited berjumlah RM10 bilion setakat September 2023, kata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Setakat ini, RM2.6 bilion telah direalisasikan dan pelaburan ini merentasi pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, perkhidmatan, pertanian serta minyak, gas dan petrokimia (OGP).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata agensi itu mempunyai kelebihan tempatan dan hubungan kukuh dengan kerajaan negeri di bawah kawasan ECER dan penggiat industri tempatan untuk menarik pelaburan dan menyediakan kemudahan menyeluruh kepada pelabur.

“Peluang yang diwujudkan oleh pelaburan swasta akan menjana pekerjaan dan peluang keusahawanan yang seiring dengan semangat Malaysia MADANI yang berusaha untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Baidzawi juga berkata, pelaburan dalam ECER berpotensi mewujudkan lebih 4,500 pekerjaan baharu dan lebih 600 peluang perniagaan tambahan, menjanjikan prospek ekonomi yang lebih cerah untuk rantau ini.

Sementara itu, di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, komitmen dan usaha ECERDC untuk meletakkan ECER sebagai destinasi pelaburan pilihan melibatkan pelaksanaan infrastruktur strategik dan program pembangunan bakat (pekerja berkemahiran) dipacu industri.

Menerusi kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan rakan kongsi strategik lain, ECERDC memainkan peranan holistik dalam memudahkan pelaburan baharu ke dalam ECER dan memastikan realisasi pelaburan.

Kejayaan ECERDC dalam menarik pelaburan swasta disumbangkan oleh projek infrastruktur strategik yang dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan ketersambungan dan rangkaian pengangkutan, sekali gus meningkatkan daya saing rantau ini sebagai destinasi pelaburan. – BERNAMA

Loading...
Terkini