comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

E-invois pertingkat pematuhan cukai, bantu kerajaan tangani ketirisan cukai – KPMG

 

KUALA LUMPUR: Pengenalan sistem invois elektronik (e-invois) untuk perniagaan akan meningkatkan pematuhan cukai, kata KPMG Tax Services Sdn Bhd.

Ketua Cukai Soh Lian Seng berkata sistem itu merupakan pendekatan yang lebih definitif bagi kerajaan untuk menangani ketirisan besar dalam cukai yang timbul daripada ekonomi bayangan.

Beliau berkata sistem itu akan membolehkan pemantauan langsung transaksi dalam syarikat dan mengelakkan invois terkurang caj.

“Pemerhatian luar dari Itali yang pertama kali mewajibkan e-invois pada 2014, mendapati sistem e-invoisnya mengesan kredit cukai nilai tambah (VAT) yang tidak wajar berjumlah 1.1 bilion euro manakala pembayaran VAT meningkat sebanyak 3.6 peratus antara 2018 dan 2019.

“Jadi, e-invois berpotensi untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai, penyelesaian yang amat diperlukan Malaysia sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPMG berkata selain meminimumkan kesilapan manusia dengan ketara dan potensi penjimatan kos, e-invois boleh mengurangkan masa dan usaha yang diperuntukkan oleh perniagaan untuk menyelaras dan mengisi data bagi pelaporan kewangan akhir tahun mereka.

Pada masa yang sama, sistem itu akan meningkatkan ketelusan data yang memberikan pihak berkuasa cukai tahap keyakinan yang lebih tinggi kerana invois dikeluarkan dengan cara yang standard, katanya.

Bagaimanapun, peralihan kepada e-invois boleh menjadi rumit jika kerajaan dan perniagaan tidak membuat persediaan lebih awal, katanya.

“Bagi perniagaan, kawalan dalaman yang betul adalah penting agar risiko cukai dikekalkan pada tahap minimum, yang hanya boleh ditentukan melalui pelaksanaan semakan risiko menyeluruh terhadap proses syarikat dan sistem rantaian bekalan.

Selain itu, beliau turut menyarankan kerajaan memperkenalkan pendekatan pelaksanaan secara berperingkat, mungkin untuk segmen perniagaan ke kerajaan dan 300 syarikat teratas terlebih dahulu sebelum melancarkan sistem itu ke segmen-segmen lain.

Pendekatan ini akan memberi masa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyediakan dan menaik taraf sistem dalaman masing-masing, katanya.

“Kerajaan telah pun membolehkan automasi perniagaan dan pendigitalan dalam kalangan PKS melalui peruntukan RM100 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS.

“Di bawah skim itu, geran padanan sehingga RM5,000 akan diberikan kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem tempat tempat jualan, perakaunan atau pengurusan inventori,” katanya.

Soh turut menyarankan kerajaan mempertimbang untuk membangunkan platform e-invois percuma, terutamanya untuk PKS kerana ini akan mengurangkan kos pelaburan mereka dalam teknologi dan proses baharu serta pada masa yang sama memastikan pendigitalan aplikasi PKS diseragamkan. — BERNAMA

Loading...
Terkini