Tumpuan :
Detik Niaga

DXN Holding kembali senarai di Papan Utama Bursa Malaysia 19 Mei 2023

Foto: DXN Holding Berhad

Oleh: Amanda Lopez

CYBERJAYA: Syarikat produk penjagaan kesihatan, DXN Holdings Bhd (DXN) sasar untuk kembali ke Papan Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei selepas keluar pada 2011.

Tawaran awam permulaan (IPO) itu dijangka meraih sekitar RM121.6 juta, IPO terbesar Malaysia setakat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Teoh Hang Ching berkata, “DXN kini mempunyai aliran tunai yang kukuh dan hasil terbitan awam ini akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank sebanyak RM80 juta atau sekitar 65%, kemudian 15% bagi keperluan modal kerja dan lagi 20% bagi membiayai yuran termasuk perbelanjaan berkaitan IPO dan penyenaraian. Justeru kami akan menurunkan pinjaman kami dalam kumpulan.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis pelancaran prospektus IPO di DXN Cyberville, Cyberjaya hari ini.

IPO itu membabitkan tawaran sehingga 932,675,000 saham biasa, merangkumi tawaran jualan sehingga 772,675,000 saham sedia ada (saham tawaran) dan terbitan awam sebanyak 160,000,000 saham baharu (saham terbitan).

Harga IPO maksimum ialah RM0.76 sesaham, dengan harga IPO akhir yang akan ditentukan melalui pelaksanaan penentuan harga.

Selepas IPO, jangkaan permodalan pasaran DXN akan mencecah RM3.8 bilion.

DXN juga merancang untuk mengisytiharkan dividen tahunan dengan nisbah pembayaran sasaran antara 30-50 peratus daripada keuntungannya.

Selepas berada di 48 negara,  DXN sasar untuk menembusi lima negara di Latin Amerika dan Afrika dalam dua tahun ini.

Syarikat ketika ini menguasai 0.8% pasaran penjagaan kesihatan dunia.

Loading...
Terkini