Oleh Juliana Pija Ismail
KUALA LUMPUR: Pembekal produk pembungkusan, DS Sigma Holdings Bhd bermula kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd, dibuka pada 81 sen — premium 26 sen atau 47 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 55 sen.
Lebih 12.45 juta sahamnya telah didagangkan semasa sesi pembukaan.
IPO DS Sigma terdiri daripada terbitan 91.18 juta saham biasa baharu dan syarikat itu dijangka menjana sebanyak RM50.15 juta daripada pelaksanaan itu.
Syarikat itu akan menggunakan 34.3 peratus atau RM17.2 juta daripada hasil yang diperoleh untuk mengembangkan kemudahan operasinya dan 31.91 peratus atau RM16 juta untuk membeli mesin dan peralatan baharu.
Sejumlah RM1.14 juta akan dimanfaatkan untuk menubuhkan pusat reka bentuk dan inovasi pembungkusan, membayar balik pinjaman bank, kegunaan modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengarah Urusannya, Lucille Teoh Soo Lien berkata pembinaan kilang baharu itu akan membolehkan syarikat berkenaan memberi perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada tepat pada masanya, mengembangkan kapasitinya untuk menyediakan pelanggan baharu dan mengembangkan pangkalan syarikat.
“DS Sigma kini sedang mencari pelanggan dari kalangan pasaran mewah seperti fotovolta solar” katanya selepas majlis penyenaraian IPO di Bursa Malaysia hari ini.
“Kami tidak cuba mengeluarkan produk secara besar-besaran untuk semua orang. Kami memberi tumpuan kepada pelanggan tertentu dan menghasilkan atas permintaan mereka” katanya.