Oleh Juliana Pija Ismail
Putrajaya: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional Simpan (SSPN) 2022 sebanyak 3.05 peratus.
Ia membabitkan peruntukan RM266.17 juta yang akan memberi manfaat kepada 5.73 juta pendeposit akaun simpan SSPN.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Simpan SSPN merekodkan nilai simpanan memberangsangkan meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar tahun lalu.
Setakat ini, jumlah agihan dividen mencatat RM1.33 bilion sejak instrumen simpanan itu diperkenalkan pada 2004.
“Deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93% lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak RM2.8 bilion.Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 juta atau 11.66% berbanding tahun 2021 yang mencatatkan nilai simpanan sebanyak RM3.01 bilion.” katanya ketika pada pengumuman dividen Simpan SSPN 2022 di kementeriannya hari ini.
Katanya, sebanyak 491,984 akaun telah dibuka pada tahun 2022 berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun, peningkatan 123% berbanding sasaran tahun 2022.
Manakala pelaburan deposit pula Simpan SSPN bagi tahun 2022 mencatatkan keuntungan berjumlah RM321.65 juta.
PTPTN turut mengumumkan ganjaran kesetiaan sebanyak satu peratus kepada pendeposit Simpan SSPN Prime.
“Ganjaran kesetiaan itu akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi iaitu bermula 5 April 2023 hingga 31 Julai 2023,” katanya.
Insentif itu juga layak disertai pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Disember 2019.
Beliau berkata, setakat ini, jumlah deposit dalam Simpan SSPN bernilai RM14.24 bilion sejak instrumen simpanan itu dibuka pada 2004.